DuniaSemasa

400,000 kanak-kanak bawah 5 tahun di Yaman berisiko maut akibat kurang zat makanan -PBB

Peperangan, kemiskinan mengancam kehidupan

DUBAI : Kira-kira 400,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Yaman berisiko mati akibat kekurangan zat makanan disebabkan peperangan dan kemiskinan.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (12 Feb) lalu mengeluarkan statistik terbaru itu yang merangkumi separuh daripada mereka yang menderita kekurangan zat makanan adalah dalam golongan usia yang paling berisiko, atau 2.3 juta kanak-kanak kecil.

photo : REUTERS/Khaled Abdullah/File Photo

 

Ketua Program Makanan Dunia (WFP), Encik David Beasley, dalam satu kenyataan bersama berkata jumlah kanak-kanak Yaman yang berdepan dengan bahaya maut akibat kekurangan makanan meningkat kepada 400,000 orang, iaitu meningkat 22 peratus berbanding 2020.

“Jumlah ini satu lagi seruan meminta bantuan dari Yaman, yang mana setiap anak yang kekurangan zat makanan juga bermakna sebuah keluarga yang berjuang untuk terus hidup,”

“Lebih ramai kanak-kanak akan mati setiap hari, jika tiada tindakan diambil,” kata Ketua Agensi Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Henrietta Fore.

“Pertubuhan kemanusiaan memerlukan sumber yang dapat diramal dengan segera dan akses tanpa halangan kepada masyarakat di lapangan untuk dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.

PBB juga memberi amaran bahawa sekitar 1.2 juta wanita hamil atau sedang menyusu anak dijangka menderita kekurangan zat makanan yang melampau pada tahun 2021.

“Krisis di Yaman melibatkan campuran toksik iaitu konflik, keruntuhan ekonomi dan kekurangan dana yang teruk untuk menyediakan pertolongan yang sangat diperlukan,” kata Beasley.

“Namun, ada jalan keluar untuk mengatasi isu kelaparan, iaitu makanan dan menghentikan keganasan,” katanya.

Jutaan penduduk Yaman kini berada di ambang kebuluran dengan ekonomi yang hancur, sekolah dan hospital yang hampir tidak berfungsi, dan puluhan ribu penduduk terbunuh.

Menurut PBB, lebih tiga juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan hampir 80 peratus daripada 29 juta penduduknya memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button