Covid19Dunia

COVID-19 : Menteri Hal Ehwal Agama Saudi beri amaran akan tutup masjid sekiranya kes meningkat

8 lagi masjid ditutup sementara, 15 jemaah positif, muazzin meninggal dunia

JEDDAH : Lapan lagi masjid di serata Arab Saudi ditutup pada Jumaat (12 Feb) berikutan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang terus meningkat.

Penutupan sementara masjid berkenaan disahkan oleh Kementerian hal ehwal agama Arab.

Menurut laporan Gulf News, di Wilayah Wadi al Dawasir, 15 kes jangkitan dikenal pasti membabitkan jemaah, manakala seorang muazzin disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti virus Covid-19.

Arab News pula melaporkan para imam di masjid-masjid juga turut serta dalam usaha mengekang penularan koronavirus itu, dengan menggesa jemaah supaya memandang serius langkah-langkah berjaga-jaga dan menyifatkannya sebagai “tanggungjawab agama dan negara”.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Agama, Abdulatif Abdul aziz memberi amaran masjid-masjid akan ditutup semula sekiranya kes penularan wabak Covid-19 terus memuncak.

Sejak lima hari lalu, 52 masjid ditutup disebabkan kes-kes COVID-19 yang disahkan.

Daripada jumlah tersebut, 38 sudah selesai prosedur pembasmian kuman bagi memastikan kesihatan jemaah.

Saudi Gazette melaporkan daripada lapan masjid yang baru ditutup, dua terletak di Jeddah, satu di Makkah, dua di Riyadh, satu di daerah Jazan, satu di daerah timur dan satu di daerah Asir.

Arab News melaporkan pihak kementerian turut mempertingkat pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan masjid di mana solat Jumaat diadakan, selaras dengan usaha mengekang penularan COVID-19.

Para pegawai dan kakitangan masjid mengatur kemasukan jemaah dan memerika suhu badan mereka sebelum masuk, selain menyediakan cecair sanitasi dan perkakas kebersihan.

Kementerian itu sekali lagi menekankan pentingnya mematuhi langkah-langkah waspada dan menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang pelanggaran ataupun kelonggaran dalam melaksanakan langkah-langkah itu, lapor Saudi Gazette.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button