DomestikSemasa

3 beradik rentung, rumah terbakar dijilat api

LAWAS: Kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai, mengakibatkan tiga beradik rentung di sini, malam tadi.

Difahamkan, rumah tersebut dihuni oleh sembilan sekeluarga.

Kanak-kanak terbabit yang terkorban dikenal pasti sebagai Mohd Hesdi Huzaidi Azrie, 4; Mohd Hezmi Huzaili, 7; dan Mohd Hezry Huzaimi, 8, dalam tragedi kira-kira jam 10.50 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS999 pada jam 11.02 malam, berhubung insiden itu.

Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai, api didapati sedang marak menjilat sebuah rumah dua tingkat berstruktur separuh kekal.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.45 tengah malam, manakala rumah terbabit musnah sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, enam lagi penghuni rumah itu antara yang terselamat dalam kejadian berkenaan.

Mereka ialah bapa mangsa, Azrie Latip, 45, bersama isteri, Dayangku Hadianawati, 38; dan dua lagi anak mereka, Ariesya Aryana, 14, serta Muhd Hezrie, 12.

Yang turut terselamat ialah datuk mangsa, Awangku Jeman Pangiran Abdul Hamid, 72, dan nenek, Aminah Matusop, 73.

“Mayat tiga beradik itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian sedang disiasat,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button