Semasa

154 trak bantuan dari Arab Saudi hantar ke Yaman

RIYADH :  Ketua Penyelia Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al Rabeeah, melepaskan konvoi 154 trak bantuan dari Arab Saudi ke Yaman.

Konvoi itu membawa 30,399 bakul makanan (3,252 tan) untuk diedarkan di 15 buah daerah.

Bantuan makanan itu adalah yang pertama dihantar oleh KSrelief ke Yaman sebagai sebahagian daripada “Projek Sokongan Keselamatan Makanan Yaman” yang akan diteruskan hingga 2022.

Dalam ulasan kepada Agensi Akhbar Saudi (SPA), Dr. Al-Rabeeah menyatakan bahawa konvoi ini adalah lanjutan daripada komitmen kerajaan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bagi memberikan bantuan berterusan kepada rakyat Yaman dan menyokong mereka semasa krisis kemanusiaan.

Beliau menambah bahawa konvoi 154 kenderaan itu adalah yang pertama dalam jumlah keseluruhan 973 trak yang membawa lebih daripada 192,000 bakul makanan (20.540 tan) dengan kos keseluruhan $ 29,978,000.

Al-Rabeeah berkata bantuan itu akan membantu meningkatkan keselamatan makanan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Yaman sambil menambah bahawa bantuan ini amat penting memandangkan cabaran tambahan yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.

Beliau menegaskan KSrelief akan memastikan semua bantuan sampai kepada penerima sasaran dan akan diagihkan melalui organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan kongsi tempatan dengan penyelarasan daripada Jawatankuasa Bantuan Tinggi Yaman.

KSrelief telah melaksanakan sejumlah 644 projek di Yaman meliputi semua sektor kemanusiaan.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button