Semasa

Zuspresso sokong usaha kemanusiaan di Gaza

MAPIM Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada pihak Zuspresso (M) Sdn Bhd, atau lebih dikenali dengan jenama Zus Coffee. Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi mereka, Encik Venon Tian  bersama wakil syarikat dan panel syariah mereka.

Dari kiri , Encik Venon Tian, Penal Syariah, Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan CEO MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al Kahery

Kunjungan ini diadakan bagi membincangkan kerjasama CSR dalam isu-isu kemanusiaan yang kritikal, terutamanya berkaitan dengan krisis kemanusiaan di Gaza.

Zuspresso telah menyatakan kecaknaan dalam isu ini dan melihat sekiranya ada peluang untuk bekerjasama dengan MAPIM, dalam usaha membantu dan meringankan beban rakyat Palestin akibat kekejaman pihak regim zionis.

MAPIM yakin dengan kerjasama pelbagai pihak akan dapat membawa perubahan yang signifikan. Ia bukan sahaja akan mengukuhkan usaha-usaha bantuan kemanusiaan, tetapi juga memperkuat semangat solidariti dan kebersamaan dalam membantu rakyat Gaza bagi menghadapi genosid pihak israel.

(Dr.) Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby menerangkan tentang inisiatif projek Bandar Wakaf Malaysia yang akan dibangunkan di Gaza

Dalam pertemuan ini juga pihak Zuspresso  telah menyumbangkan sebanyak 100 ribu ringgit untuk rakyat Gaza. Selain itu mereka juga berkesempatan mendengar penerangan daripada CEO MAPIM sendiri, (Dr.) Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby tentang inisiatif projek Bandar Wakaf Malaysia yang akan dibangunkan di Gaza serta beberapa misi penting termasuk Rafah yang kini sedang berdepan dengan getir yang memilukan.

MAPIM Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pihak untuk turut serta dalam usaha kemanusiaan ini, bagi bersama-sama, membuat perubahan yang lebih besar dan berkesan demi masa depan yang lebih baik untuk ummah terutamanya Gaza.

Menurut (Dr.) Sani Araby, “Genosid di Gaza berlaku di hadapan mata kita, kita lihat videonya setiap hari, kita baca beritanya setiap jam, ia adalah nyata dan kita tidak boleh duduk diam. Kita perlu bantu mereka dengan apa sahaja yang kita ada dan ini adalah tanggungjawab kita semua!”

Tambahnya, MAPIM mencadangkan untuk pihak Zus bersama dalam tiga projek penting melibatkan Gaza yang bakal diumumkan kelak.

“Ini adalah masanya kita zahirkan sokongan kita kepada Gaza dengan cara kita tersendiri. Saya sangat berharap kerjasama ini akan membangkit gelombang sokongan dan mesej bahawa Malaysia mengecam tindakan kebinatangan regim ini dan selamanya kita bersama dengan anak-anak kecil, wanita dan saudara Gaza yang begitu cekal mempertahankan tanah air mereka!”

MAPIM mengucapkan terima kasih Zuspresso (M) Sdn Bhd atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan, serta menantikan kerjasama yang lebih erat dan berterusan pada masa hadapan.

Related Articles

Back to top button