KUALA LUMPUR : Dua planet gergasi iaitu Musytari dan Zuhal berada selari antara satu sama lain merupakan fenomena astronomi istimewa pada pengakhiran tahun 2020.
Fenomena ini juga disebut sebagai ‘Rare Great Conjunction of Jupiter and Saturn’ – menjelaskan kedudukan di mana Musytari dan Zuhal akan kelihatan paling dekat seolah menghampiri antara satu sama lain.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kedua-dua planet kelihatan paling dekat seperti planet berkembar, dan hampir sejajar dari Bumi dengan jarak sudut 1/10 darjah, dan jarak antara kedua-duanya lebih kurang 1/5 diameter bulan purnama.
Fenomena ini boleh dilihat dengan mudah melalui mata kasar di langit kawasan Khatulistiwa pada ketinggian lebih kurang 29 darjah pada arah barat daya selepas terbenamnya matahari semalam.
Fenomena ini berlaku setiap 20 tahun sekali, dengan konjungsi atau kedudukan kedua-dua planet ini akan berada dalam satu jajaran ketika mengorbit matahari.
Fenomena ini dilihat dengan mata kasar pada jam 9:15 malam tadi, seperti satu bintang yang amat cerah seperti bintang Kejora.
Kali terakhir kedua-dua planet berada pada jajaran yang sama, iaitu dengan jarak sudut 1/12 darjah, ialah pada 397 tahun yang lepas iaitu pada 16 Julai 1623.
Tambah MYSA, pemerhatian yang lebih baik adalah dengan menggunakan binokular atau teleskop dan kenampakan fenomena ini turut bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Fenomena konjungsi paling dekat seterusnya, iaitu lebih kurang 1/10 darjah akan berlaku pada 15 Mac 2080.
Bagi penduduk Semenanjung, fenomena ini berlaku dengan waktu yang singkat sahaja kerana waktu matahari terbenam adalah pada jam 7:00 malam, dan kedua-dua planet tersebut sudah pun menghampiri ufuk barat, tempat yang lapang dengan jarak penglihatan kurang terbatas merupakan tempat yang sesuai untuk melihat fenomena ini.
Bagi penduduk Sabah pula amat beruntung kerana waktu matahari terbenam adalah satu jam awal daripada Semenanjung, maka, tetingkap tempoh untuk mencerap fenomena ini lebih panjang.
Semalam Persatuan Falak Syar’i Malaysia mengajak orang ramai, mengikuti siaran langsung cerapan konjungsi planet Musytari dan Zuhal dari 4 lokasi di Malaysia pada jam 7:00 malam.
Kenyataaan itu dikeluarkan di Facebook
- Muhammad Haziq Amzar Kamarulzaman ( Pelatih Fakulti Animasi UiTM)