Ziarah kubur ayah di Mekah selepas 7 tahun
MEKAH: Selepas hampir tujuh tahun, dua beradik akhirnya berpeluang menziarahi perkuburan Syaraek di sini, lokasi ayah kesayangan mereka dikebumikan selepas meninggal dunia ketika sedang solat subuh pada musim haji 2016.
Nurul Syazwani Sajari, 32, dan adiknya Nurul Farhanah, 29, yang kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji, dibawa petugas Tabung Haji (TH) ke kawasan perkuburan itu, kira-kira 15 kilometer dari maktab penginapan mereka di Abraj Janadriyah di sini.
Ketika memandang deretan kubur tidak bertanda di kawasan tanah perkuburan itu, air mata kedua-dua mereka dilihat berjuraian, sambil doa turut dibaca buat Allahyarham Sajari Sawi.
Menurut Nurul Syazwani, emosinya sebelum ini sudah tersentuh setelah melihat petugas TH yang mengenakan pakaian seragam seperti pernah dipakai ayahnya, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz, 30 Mei lepas.
“Kami ada rancangan untuk ziarah kubur ayah bersama mak, tetapi mak sakit dan meninggal dunia dua tahun selepas ayah pergi disebabkan kanser“, katanya ketika ditemui BERNAMA.
Allahyarham Sajari, petugas TH pada musim haji 1437 Hijrah meninggal dunia di khemah di Mina, Arab Saudi kira-kira 6.10 pagi waktu tempatan pada 14 Sept 2016 akibat serangan jantung ketika berusia 56 tahun.
Sajari yang telah berkhidmat dengan TH sejak 1985 dan bertugas sebagai Penolong Pengurus Zon 1 (Madinah) ketika itu, dikebumikan di perkuburan berkenaan selepas solat zuhur pada hari sama.
Mengimbau kembali kenangan terakhir sebelum Allahyarham berangkat ke Tanah Suci di Kompleks TH Kelana Jaya, Nurul Syazwani berkata ayahnya berpesan supaya dia menjaga solat dan dua adiknya, Nurul Farhanah dan Muhammad Syamil, 28.
Menurutnya, ayahnya begitu gembira kerana dapat bertugas pada tahun itu berbanding tahun-tahun sebelumnya, selain berkongsi resipi dan mengajarnya memasak Nasi Arab yang sebelum itu tidak dikongsikan kepada ahli keluarga, walaupun diminta berbuat demikian.
Dalam pada itu, petugas unit pentadbiran bagi musim haji kali ini, Rashid Desa, 60, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ketua dan rakan dengan akhlak yang baik.
“Percakapan Allahyarham ini sangat lembut, tidak kasar dan beliau tidak suka bercerita tentang keburukan orang lain”, katanya.