Zhang Jun: Krisis Ukraine perlu melalui pendekatan dialog dan rundingan
NEW YORK- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung pada Khamis dihadiri oleh wakil tetap China, Zhang Jun.
Zhang Jun menyatakan bahawa dialog dan rundingan merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan krisis Ukraine ketika berucap di sesi khas PBB.
“Dialog dan rundingan merupakan salah satu pendekatan untuk mengakhiri krisis yang melanda Ukraine,”
“Pihak China akan terus terlibat dalam menyumbang ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.
Beliau menyuarakan mengenai pendirian negara China berhubung situasi kemanusian yang semakin memburuk di Ukraine dan telah mengakibatkan kecederaan serta kemalangan jiwa, selain ramai rakyat mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Pihak yang bersengketa perlu bersabar dan bertenang serta berusaha ke arah gencatan senjata bagi mencegah krisis kemanusiaan besar-besaran, ujar Zhang Jun sewaktu berucap di PBB.
“China sudah beberapa kali menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti barangan keperluan kepada Palang Merah Ukraine,”
“Pihak yang terbabit perlulah bertanggungjawab untuk mengukuhkan penyelarasan, memudahkan proses pemindahan dan operasi menyelamat serta bekerjasama dalam usaha melindungi nyawa rakyat terutamanya wanita dan kanak-kanak,” ujar Zhang.
Selain wabak pandemik COVID-19, Zhang akui, krisis Ukraine memberi kesan yang dahsyat kepada dunia, sekali gus memberi impak buruk kepada sektor ekonomi dan perdagangan, kewangan, tenaga, barang makanan dan rantaian bekalan.
Oleh: Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof