Dunia digemparkan dengan konflik bersenjata antara Rusia dan Ukraine. Seramai lebih 150,000 tentera Rusia dikerahkan ke timur Ukraine di wilayah puak pemisah iaitu Donbas. Rusia mengatakan ia adalah ‘operasi ketenteraan khas’.
Sebelum itu, sejak beberapa bulan lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin sudah memberi amaran secara halus kepada negara jirannya itu dengan melarang Ukraine untuk tidak menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Dari selebriti ke ‘sasaran nombor satu Rusia’
Tetapi apakah hanya faktor itu yang membuatkan Rusia nekad menyerang Ukraine? Ataupun Rusia melihat ada peluang bagi meluaskan pengaruh pada presiden baru Ukraine, yang bukan berlatar belakang politik?
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang berjaya menumpaskan saingannya Petro Poroshenko, menimbulkan banyak kejutan.
Beliau dahulunya adalah seorang pelawak dan selebriti tempatan diangkat menjadi seorang Presiden Ukraine pada tahun 2019.
Justeru, kemenangan beliau mendapat perhatian penganalisis politik Ukraine, Mykola Davydyuk yang mengatakan rakan kongsi antarabangsa berdepan kesukaran untuk berurusan dengannya kerana Zelensky tidak setaraf dengan kedudukan pemimpin global.
“Mereka bermain pada tahap yang sangat tinggi yang dia tidak boleh capai dan tidak faham,” tambah Davydyuk dalam laporan portal CNA.
Berdasarkan tinjauan daripada Pusat Razumkov, badan pemikir dasar awam bukan kerajaan tempatan, mendapati lebih daripada 55% responden tidak percaya kerajaan Ukraine telah melakukan usaha diplomatik dan pertahanan yang mencukupi bagi menghalang pencerobohan Rusia pada skala penuh.
Ketua editor akhbar Kyiv Independent, Olga Rudenko menerusi panel Frontline Online meluahkan pendapat bahawa Zelensky dan penyokongnya menempah risiko sejak awal kemenangannya dalam pilihan raya.
Rudenko berkata Zelensky banyak mengabaikan ancaman dan amaran global berkenaan pencerobohan yang akan berlaku oleh Rusia ke negara tersebut.
Bukan itu sahaja, The Guardian terdahulu memaklumkan, Zelensky turut menafikan ancaman pencerobohan Rusia yang akan berlaku dan berkata UK dan AS adalah salah menarik keluar kakitangan diplomatik dari Kyiv.
Zelensky dilihat memandang enteng dan membalas amaran tersebut dengan sindiran, “Tiada kapal Titanic di sini.”
Ujarnya, beliau amat menyedari bahaya yang ditimbulkan oleh lebih 150,000 tentera Rusia yang berkumpul di sempadan Ukraine.
Bagaimanapun, beliau enggan bersetuju dengan tanggapan Presiden AS, Joe Biden bahawa serangan Rusia adalah “sangat mungkin”.
Merujuk akhbar The Washington Post, kerajaan AS sedia membantu Zelensky meninggalkan Kyiv untuk mengelak daripada ditangkap atau dibunuh oleh tentera Rusia yang semakin mara.
Namun, Zelensky tetap utuh untuk tidak lari keluar biarpun tentera Rusia sudah melancarkan serangan ke atas Ukraine pada Jumaat.
“Menurut maklumat yang kami ada, musuh telah menandakan saya sebagai sasaran No. 1, keluarga saya sebagai sasaran No. 2,”
“Mereka mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan memusnahkan ketua negara,” kata Volodymyr Zelenskyy.
Faktor Serangan Rusia ke atas Ukraine
Berdasarkan laporan Agensi Anadolu, antara sebab Rusia bertindak sedemikian adalah kerana desakan kumpulan pemisah Pro-Rusia, meliputi puak anti-kerajaan Ukraine yang terletak di wilayah Donetsk dan Luhansk secara kolektif dipanggil wilayah Donbas.
Majoriti penduduk di wilayah Donbas merupakan warga Rusia yang bermigrasi ke kawasan tersebut selepas peristiwa berdarah Perang Dunia ke-2 pada era Kesatuan Soviet.
“Republik Rakyat Donbas mengajukan permintaan bantuan dari Rusia. Sehubungan dengan itu, saya membuat keputusan melancarkan operasi ketenteraan khusus,” kata Putin dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, pejabat Presiden Rusia menerima makluman daripada pemimpin puak pemisah di timur Ukraine meminta pertolongan Putin atas pencerobohan tentera Ukraine.
Selain itu, alasan lain serangan adalah bagi melindungi rakyat di wilayah Donbas yang didakwa dianiaya dengan pembunuhan secara beramai-ramai (genocide) oleh Ukraine sejak lapan tahun lalu.
Pada Isnin, Putin mengumumkan pengiktirafan kemerdekaan dua wilayah di timur Ukraine dan menghantar pasukan tentera Rusia bagi menjadi benteng pertahanan daripada ancaman serangan Barat.
Dalam pada sama, pada Januari, Rusia juga membuat tuntutan keselamatan daripada NATO dan negara Barat, termasuk :
- Ukraine harus dihalang daripada menyertai NATO.
- NATO harus menamatkan aktiviti ketenteraan di Eropah timur, menarik tentera keluar dari Poland dan republik Baltik Estonia, Latvia dan Lithuania.
- Perikatan itu tidak seharusnya mengerahkan peluru berpandu di negara berhampiran atau bersempadan dengan Rusia
Putin sebelum ini menegaskan, kemasukan tenteranya ke timur Ukraine adalah bagi menjalankan ‘misi pengaman’ dan bukannya berperang seperti yang dicanang Barat
Namun, dari sudut perspektif Ukraine, tindakan Rusia ini dilihat sebagai strategi untuk menawan Kyiv.
Lantas, tindakan ini mendapat reaksi buruk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa Rusia telah melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Rusia Mara
Biarpun dikecam global dan PBB, Rusia dilihat seperti tidak terkesan.
Seorang wartawan Reuters yang berada di Kyiv memaklumkan kedengaran beberapa siri letupan di ibu kota Kyiv sejurus selepas ucapan Putin yang melancarkan operasi tentera pada awal pagi Khamis.
Agensi berita Interfax melaporkan tembakan turut kedengaran berhampiran lapangan terbang utama ibu negara Ukraine dan siren kedengaran di seluruh bandar.
“Kyiv, bandar kami yang indah dan damai, terselamat satu malam lagi di bawah serangan oleh tentera darat Rusia, peluru berpandu.
“Salah satu daripada peluru berpandu mereka telah memusnahkan sebuah apartmen kediaman di Kyiv. Saya menuntut dunia: mengasingkan Rusia sepenuhnya, mengusir duta, embargo minyak, merosakkan ekonominya. Hentikan penjenayah perang Rusia!” kata Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba di Twitter.
Kyiv, our splendid, peaceful city, survived another night under attacks by Russian ground forces, missiles. One of them has hit a residential apartment in Kyiv. I demand the world: fully isolate Russia, expel ambassadors, oil embargo, ruin its economy. Stop Russian war criminals! pic.twitter.com/c3ia46Ctjq
— Dmytro Kuleba (@DmytroKuleba) February 26, 2022
Ukraine rayu bantuan antarabangsa
Sejurus selepas tentera Rusia dilihat semakin mara ke ibu kota Ukraine, Kyiv, Presiden negara itu, Volodymyr Zelenskyy mengeluarkan rayuan terdesak bagi mendapatkan bantuan.
Zelenskyy dalam satu hantaran di media sosial dilihat terdesak dan mengatakan bahawa pihak musuh (Rusia) akan menggunakan semua kekuatan yang mereka ada bagi mematahkan penentangan.
Volodymyr Zelensky yang memegang tampuk pimpinan Ukraine pada 2019, turut menggesa pemimpin global memberikan bantuan pertahanan kepada Ukraine dan membantu melindungi ruang udaranya daripada Rusia.
Dalam satu kenyataan ketika serangan Rusia sedang berlangsung ke atas Ukraine pada awal Khamis, Zelenskyy berkata bahawa Rusia telah melancarkan perang dengan Ukraine dan seluruh dunia demokrasi.
Beliau meminta pemimpin dunia menyediakan sokongan pertahanan berskala besar dan melindungi ruang udara Ukraine daripada penceroboh.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, pada Jumaat telah menandatangani perintah yang membenarkan sehingga $600 juta USD untuk bantuan ketenteraan ke Ukraine di bawah Akta Bantuan Asing 1961.
Sehingga kini, angka korban pertempuran antara Rusia dan Ukraine terus meningkat dari semasa ke semasa.
Volodymyr Zelensky mengesahkan seramai 137 orang terbunuh manakala 316 lagi cedera selepas serangan tentera Rusia sejak awal Khamis.
Merujuk laporan Reuters, angka korban itu meliputi anggota tentera Ukraine dan orang awam yang menjadi mangsa akibat pertempuran dan letupan bom.
Zelensky berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kematian akan terus meningkat memandangkan penduduk negara berkenaan kini sedang bergerak meninggalkan kawasan kediaman yang menjadi medan perang.
” Selain itu, tentera Rusia tidak menunjukkan isyarat akan menghentikan serangan ketika ini,” katanya.