Zakat Fitrah di Selangor kekal RM7
SHAH ALAM : Kadar zakat fitrah di Selangor tahun ini masih kekal ditetapkan RM7 setiap seorang.
Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Muhd Fikri Naim Harun memaklumkan, kadar zakat fitrah RM7 ditetapkan mengikut kepada harga baagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan masyarakat di Selangor.
Menurutnya, golongan yang berkemampuan digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.
“Kadar zakat fitrah berkenaan adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi atau RM21 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi, beras jepun dan beras merah,” katanya.
Beliau berkata, sejak 2018 lagi LZS telah melaksanakan galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan.
Mengulas lanjut, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada Ramadan.
“Antaranya, EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; aplikasi Zakat Selangor; Perbankan internet; Portal MyEg dan Pos Online serta aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.
“Dalam pada itu, LZS turut melantik seramai 2,745 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.
“Masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan sepanjang berurusan,” katanya.
-BERNAMA