Youtube gantung Sky News Australia berikutan sebar maklumat salah Covid-19
SYDNEY : YouTube telah menggantung Sky News Australia daripada memuat naik kandungan baru selama seminggu atas kebimbangan menyebarkan maklumat palsu Covid-19.
Tindakan itu dilakukan setelah meneliti kandungan yang dimuat naik oleh saluran TV milik Rupert Murdoch, yang memiliki jumlah pengikut yang besar.
“Kami memiliki dasar jelas mengenai maklumat salah COVID-19… bagi mengelak penyebaran maklumat salah COVID-19 yang boleh menyebabkan kesan buruk di dunia nyata,” kata YouTube dalam satu kenyataan.
Dengan 1.86 juta pengikut di YouTube, saluran tersebut yang dimiliki oleh anak syarikat Murdoch’s News Corp – mempunyai pengikut yang konservatif di luar Australia.
Kandungan yang dimuat naik termasuk video yang mempersoalkan kewujudan pandemik dan keberkesanan vaksin dikongsi secara meluas di forum media sosial di seluruh dunia yang menyebarkan maklumat palsu mengenai Covid-19 dan vaksin.
Muat naik YouTube terakhir, dari tiga hari yang lalu, memaparkan hos yang mendakwa bahawa pelaksanaan lockdown gagal dan mengkritik pihak berkuasa negeri kerana melanjutkan tempoh arahan kekal di rumah.
Sky News mengesahkan pergantungan sementara itu dan jurucakap mereka memaklumkan bahawa mereka menyokong perbincangan dan debat yang meluas mengenai pelbagai topik dan perspektif yang sangat penting bagi mana-mana demokrasi.
“Kami memandang serius komitmen kami untuk memenuhi harapan editorial dan masyarakat,” katanya.
YouTube menetapkan dasar ‘tiga pelanggaran kesalahan’, dengan kesalahan pertama membawa kepada penggantungan selama seminggu, kesalahan kedua dalam tempoh 90 hari membawa kepada penggantungan dua minggu, dan kesalahan ketiga menyebabkan penyingkiran daripada platform itu.
– AGENSI
Diterjemah oleh Hafeez Anuar