Yayasan Wakaf Malaysia Perkukuh Komitmen Sosial Melalui Program Jelajah Peduli Ummah
Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) terus menonjolkan peranannya dalam memperkasakan ekonomi dan sosial umat Islam di negara ini dengan terlibat aktif dalam Program Jelajah Peduli Ummah. Inisiatif ini, yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan, terutama dalam situasi ekonomi yang mencabar.
Ditubuhkan untuk mengurus dan mengembangkan aset wakaf di Malaysia, YWM berkomitmen memastikan setiap amanah yang diterima dimanfaatkan secara optimum demi kebaikan masyarakat. Sejak pelancarannya pada tahun 2020, Program Jelajah Peduli Ummah telah memasuki edisi ke-7, membuktikan keberkesanan dan kelangsungannya dalam membantu masyarakat.
Program tahun 2024 secara rasmi dilancarkan pada 1 Oktober oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar. Selepas membantu mangsa banjir di Kedah, Program Jelajah Peduli Ummah seterusnya diadakan di Desa Pandan, Kuala Lumpur, pada 27 Oktober lepas. Di mana lebih 210 penerima bantuan meraih manfaat daripada inisiatif berharga ini.
Tuan Mohd Fazdli Rosli, Pengurus Bahagian Pengurusan Dana YWM yang turut hadir dalam acara kali ini, menekankan kepentingan ketelusan dalam pemilihan program. Program Jelajah Peduli Ummah oleh MAPIM adalah antara inisiatif yang telus dan memberi impak besar kepada masyarakat. Justeru, pihak YWM berbesar hati untuk menyokong usaha ini.
Dengan penyertaan YWM dalam Program Jelajah Peduli Ummah, diharapkan lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Komitmen YWM dalam menjaga amanah wakaf dan menyokong program kebajikan mencerminkan pentingnya kerjasama dalam mencapai matlamat kesejahteraan masyarakat. Inisiatif seperti ini tidak hanya memberi manfaat langsung kepada penerima, tetapi juga menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.