DuniaSemasa

Wartawan Pakistan maut digilis kenderaan bekas Perdana Menteri ketika liputan

LAHORE: Seorang wartawan wanita, Sadaf Naeem, 40, maut digilis kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri Pakistan pada Ahad.

Nahas berlaku berhampiran bandar Gujranwala ketika Imran Khan mengetuai konvoi bersama penyokongnya menuju ke ibu negara Islamabad untuk mendesak kerajaan persekutuan mengadakan pilihan raya mengejut.

Saksi kejadian berkata wartawan Channel 5 itu hilang imbangan kerana cuba naik ke atas kenderaan jenis trak Imran Khan untuk mendapatkan komen daripada bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Reuters, Naeem yang terjatuh ke atas jalan raya kemudian digilis roda trak menyebabkan kecederaan parah di kepalanya.

Ketua PTI Mussarat Jamshed Cheema turut mengesahkan Naeem digilis kenderaan yang membawa Imran Khan.

Insiden itu mendorong Imran Khan menghentikan ‘perarakan panjang’ dari Lahore ke Islamabad.

Imran Khan menerusi twitter rasminya turut berdukacita dengan insiden berkenaan, “Terkejut dan sangat sedih dengan kemalangan ngeri yang membawa kepada kematian wartawan Channel 5, Sadaf Naeem ketika perarakan kami hari ini.”

Susulan kejadian itu, aktiviti pada Ahad yang dirancang parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) kesemuanya telah dibatalkan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button