KUALA LUMPUR : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Kebangsaan (CITF) bersetuju untuk memberi vaksin kepada seluruh warga pengajian tinggi menjelang Oktober depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkaa proses pemberian vaksin ini akan berjalan secara berperingkat dalam usaha mewujudkan gelembung kampus (campus bubble) .
“Usaha ini supaya lebih ramai pelajar dapat kembali ke kampus secara berfasa dan menjalani Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara hibrid.
“Ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan IPT (PEMULIH IPT) yang sedang dirangka oleh pihak Kementerian.
“Dalam PEMULIH IPT, beberapa strategi dan prosedur operasi standard (SOP) sedang diperincikan bagi menentukan keadaan di mana mereka yang sudah divaksin selamat untuk berinteraksi sesama sendiri, dalam kelompok yang telah divaksin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Noraini turut memaklumkan pihak kementerian sedang memperhalusi langkah-langkah kawalan dalam mengekang penularan COVID-19 di IPT.
Oleh Hafeez Anuar