Covid19Semasa

Warga emas penerima Sinovac digesa ambil dos penggalak

PUTRAJAYA : Golongan warga emas yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Sinovac disaran segera mendapatkan suntikan dos penggalak berikutan mereka disenaraikan dalam kumpulan paling berisiko dengan kemunculan varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata hal ini susulan Sinovac adalah vaksin yang paling cepat menurun keberkesanannya berbanding vaksin jenis lain.

“Saya nak maklumkan kepada kumpulan ini terutama warga emas bahawa mereka adalah kumpulan paling berisiko tinggi sekiranya tidak menerima dos penggalak terutamanya dengan perkembangan terkini varian Omicron yang kebolehjangkitannya lebih tinggi berbanding Delta.

“Langkah berjaga-jaga perlu dibuat untuk semua warga emas supaya menerima dos penggalak terutama yang mendapat Sinovac (sebelum ini) meskipun belum ada (Omicron) di Malaysia, disebabkan tempoh masa Sinovac menurun lagi cepat berbanding Pfizer,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, warga emas dan individu dengan komorbidi dinasihatkan supaya tidak membuat perjalanan ke luar negara dan mengelakkan dari menghadiri kawasan awam yang sesak.

“Kalau tak dapat elak, kita faham. Tetapi kalau dapat elak jangan bawa warga emas ke tempat sesak pada masa ini

“Warga emas dan mereka yang ada komorbiditi serius juga dinasihatkan supaya mengelak daripada membuat perjalanan ke luar negara buat masa ini disebabkan varian Omicron,” katanya.

Menurutnya, nasihat tegas itu bagi melindungi golongan itu yang mudah dijangkiti virus Covid-19 varian Omicron.

Oleh Hafeez Anuar

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button