DomestikSemasa

Warga emas rempuh kerbau, meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir 13 jam

KUALA BERANG: Seorang warga emas meninggal dunia selepas bertarung nyawa hampir 13 jam, susulan insiden motosikal ditunggang merempuh seekor kerbau di Kilometer 5 Jalan Kuala Berang-Tanggol berhampiran Pulau Kudat, di sini, semalam.

Mangsa, Ilias Awang, 76, yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan akibat nahas itu, disahkan meninggal dunia pada jam 9.06 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Kuala Kejir ke kedai makan di Kampung Pulau Kudat.

Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa melanggar seekor kerbau.

“Mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today 

Related Articles

Back to top button