Emosi merupakan satu perasaan yang kuat meliputi perasaan marah, sedih, gembira, takut dan lain-lain.
Apa-apa yang melibatkan emosi sudah pasti berkait rapat dengan individu yang bernama wanita.
Wanita cukup terkenal sebagai makhluk yang mengedepankan emosi dalam menghadapi pelbagai situasi.
Hal ini sebenarnya telah menjadi norma buat kaum hawa untuk mudah meluahkan perasaannya berbanding lelaki yang hanya menggunakan kaedah asas iaitu lisan, penggayaan bahasa tubuh dan riak wajah.
Tetapi tidak dinafikan, lelaki juga boleh menjadi lebih beremosi berbanding wanita.
Namun, cara mereka mencurahkannya itu berbeza.
Wujud beberapa kajian menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung untuk merasakan emosi negatif misalnya cepat rasa bersalah, rasa takut, malu dan sedih.
Penjagaan emosi yang salah akan menyebabkan seseorang itu lebih memendam rasa dan memilih untuk menyendiri.
Memetik kata-kata kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah menerusi laman web Agenda Daily, untuk memahami kemarahan, seseorang perlu memahami psikologi.
“Kemarahan tidak berlaku tanpa tiada sebab. Ia seperti satu transformasi yang berubah disebabkan sesuatu. Misalnya, kecewa dan putus asa boleh melarat kepada perasaan marah.” ujar Profesor Madya Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah
Di samping itu, kajian turut mendapati bahawa golongan wanita dalam lingkungan usia di antara 17 hingga 22 tahun, cenderung mengalami masalah kesihatan mental disebabkan mereka lebih suka memendam perasaan.
Walau bagaimanapun, apakah langkah terbaik bagi mengatasi masalah gangguan emosi yang tidak menentu ini?
Jangan ‘overthink’
Ketika seseorang itu menghadapi masalah, pelbagai tekanan yang akan dirasai pada waktu itu sehingga mengundang individu tersebut terlampau memikirkan perkara-perkara negatif.
Pemikiran buruk ini kebiasaannya menjurus kepada tekanan emosi, kesedihan dan gelisah.
Jadi, tindakan wajar yang patut diambil adalah dengan tidak terlalu memikirkan perkara yang belum terjadi dan mengenangkan apa-apa kejadian yang berlaku diluar kawalan diri sendiri.
Sibukkan diri dengan aktiviti
Dalam berdepan dengan situasi tekanan yang menghimpit diri, lebih baik jika anda keluar dari kepompong masalah tersebut.
Sibukkan diri anda dengan apa-apa jenis aktiviti yang bermanfaat dan elakkan terjebak dengan perkara yang lebih membinasakan diri sendiri.
Cari kembali hobi yang anda gemari dan habiskanlah masa melakukan aktiviti tersebut sehingga anda berjaya menewaskan emosi yang bercelaru. Tapi ingat, setiap manusia tidak akan boleh lari dari masalah.
Ambil masa untuk berehat dan tenangkan fikiran sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Ucaplah istia’zah dan muhasabah diri
Mintalah perlindungan Allah SWT daripada syaitan yang menyesatkan dengan melafazkan “Aa’uzubillahiminassyaitonirrojim” yang bermaksud “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam”.
Ini kerana syaitan sentiasa menghasut manusia untuk melakukan sesuatu perkara yang di luar fitrah manusia.
Mereka akan berusaha menghasut manusia supaya melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT ketika seseorang itu dalam keadaan marah atau terlalu emosi.
Rasulullah S.A.W pernah berkata di dalam sabdanya: Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.
[HR Bukhari 3281 dan Muslim 2175]
Oleh yang demikian, kita seharusnya meminta pertolongan Allah dan kembali muhasabah diri agar dapat mengawal diri daripada perbuatan yang lebih membinasakan.