KUALA LUMPUR: Hari kedua beroperasi seperti biasa bagi Program Mobile Clinic Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan usaha sama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat Blok C14, Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Kelihatan sambutan daripada penduduk sekitar sangat menggalakkan.
Jumlah pesakit pada hari kedua mencatat sehingga hampir 50 orang, melibatkan pelbagai peringkat umur dan juga bangsa.
Petugas-petugas yang membantu sepanjang program berlangsung terdiri daripada kumpulan sukarelawan MAPIM Malaysia sendiri dan dua kakitangan bahagian rawatan dan perubatan.
Pesakit yang datang untuk membuat pemeriksaan dan rawatan kesihatan dirawat oleh seorang doktor di bahagian bilik pemeriksaan bawah, manakala seorang Medical Assistant (MA) terpaksa mengambil alih bilik pemeriksaan atas sebagai perunding masalah kesihatan pesakit kerana kekurangan pihak doktor.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan dua hari berturut-turut bagi program Mobile Clinic MAIWP merekodkan sebanyak 100 lebih pesakit yang mendaftar dan membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Menurut pesakit, Ramli Saad, 62, berkata program seperti ini sangat berkesan apabila dilakukan di kawasan-kawasan berdekatan dengan penduduk yang mempunyai kesulitan untuk pergi membuat pemeriksaan di klinik berjauhan dengan rumah mereka.
“Bila ada program macam ni, barulah kita penduduk atau warga emas yang datang dapat tahu tentang tahap kesihatan masing-masing, sama ada kita perlu ambil ubat atau membuat pemeriksaan kesihatan yang selanjutnya,” kata seorang lagi pesakit, Alfansu Zaldukarki, 70.
”Saya sangat bersyukur dengan pelancaran program sebegini, sebab banyak manfaat yang kami (penduduk) terima dari segi perubatan percuma, tak perlu pergi jauh dari kawasan perumahan, layanan dan rawatan doktor memuaskan dan banyak lagi yang bagi saya sangat memberi impak positif terhadap masyarakat,” tambahnya lagi.
Di samping itu, Mobile Kitchen MAPIM hasil idea yang lahirnya daripada ilham Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM sendiri, iaitu (Dr.) Sani Araby Al Kahery, juga bertapak di sini untuk mengedarkan bantuan pek makanan kepada para pesakit yang datang memeriahkan program Mobile Clinic MAIWP.
Difahamkan, proses penyediaan makanan yang dilakukan secara “On-the-go” di dalam Mobile Kitchen MAPIM menyediakan sebanyak 500 pek makanan untuk diedarkan kepada penduduk di sini.
Dengan keberadaan program Mobile Clinic MAIWP dan Mobile Kitchen MAPIM menampakkan lagi keceriaan pada wajah penduduk sekitar sini.
Program Mobile Clinic MAIWP akan diteruskan lagi ke lokasi seterusnya untuk terus menyantuni ummah dengan memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today