PETALING JAYA : Video yang memaparkan warga emas lelaki berjalan kaki sambil memimpin tangan rakannya yang memiliki masalah penglihatan ke masjid telah menimbulkan rasa sayu dari warganet.
Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna aplikasi Tiktok @4clover, dia berterima kasih kepada sahabat bapanya itu kerana sering membantu dan menemaninya ke masjid setiap kali tibanya waktu solat.
@_4clover_ Terima kasih pakcik selalu jagakan ayah di masjid semoga syurga buatmu🥺🤍 #sahabatsyurga
“Ayah dah tak nampak, tapi sahabat ayah hari-hari datang tolong bawakan ke masjid.
“Terima kasih pak cik selalu jagakan ayah di masjid, semoga syurga buatmu,” menurut kapsyen video tersebut.
Menurut gadis tersebut, pak cik berkenaan akan selalu menunggu di halaman rumah sebelum berjalan bersama-sama bapanya menuju ke masjid berdekatan yang terletak berdepan dengan rumahnya.
Menjengah ke ruangan komen ramai meluahkan rasa terharu dengan persahabatan dua warga emas tersebut. Rata-ratanya dari mereka juga mendoakan agar kedua-dua mereka terus dipanjangkan usia dan diberi kesihatan yang baik.