KUALA LUMPUR : Hilang deria bau tidak termasuk dalam gejala yang dihidapi oleh pesakit varian Covid-19, Omicron.
Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi dan Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Masita Arip berkata itu merupakan satu daripada perbezaan ketara antara gejala varian Omicron dan varian Delta.
“Selain itu, tidak seperti varian Delta, varian Omicron juga tidak menyebabkan demam dengan suhu yang tinggi, namun gejala utama yang dibawa oleh varian Omicron adalah sakit kepala dan loya.
“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mempunyai gejala demam dan sakit kepala,” katanya.
Menurut Dr Masita, gejala yang dialami oleh penghidap varian Omicron kurang lima hari, sekali gus adalah lebih singkat berbanding varian Delta.
Beliau berkata masyarakat Malaysia perlu bersikap matang dalam menghadapi situasi melawan pandemik Covid-19 dengan segera mendapatkan rawatan apabila bergejala.
Tambahnya, orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan mengambil dos penggalak supaya mempunyai imuniti terhadap varian berkenaan.
Individu yang melakukan ujian kendiri Covid-19 di rumah dan mendapati diri mereka positif perlu jujur dan bertanggungjawab dengan tidak keluar rumah dan membahayakan orang lain.
-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA