PUTRAJAYA: Sejumlah 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sehingga semalam.
Setakat ini tiada laporan kesan sampingan yang serius dialami golongan remaja.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Sabah merekodkan angka tertinggi dalam golongan remaja yang menerima suntikan vaksin iaitu 140,890 orang; diikuti Sarawak (85,291); Kedah (31,294); Kelantan (17,413); Johor (27,936) dan Labuan (2,515).
“Tiada remaja yang menerima suntikan vaksin COVID-19 mengalami kesan sampingan yang serius. Kesan sampingan yang dilaporkan hanya demam, sakit otot, lenguh di tempat suntikan serta sakit kepala dan ia sememangnya sering berlaku.
Dalam sidang media bersama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon di sini, hari ini, beliau berkata kesan sampingan tersebut akan hilang selepas pengambilan ubat.
Pada 20 September, Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi dengan menyasarkan lebih 3.2 juta remaja berusia lingkungan 12 (menigkut tarikh lahir) hingga 17 tahun.
Vaksinasi ini merupakan langkah persediaan untuk pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekaligus mengekang penularan kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.
Sementara itu, Dr Noor Azmi meminta ibu bapa atau penjaga untuk mendaftarkan remaja yang akan mengambil suntikan vaksin sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka.
“Apabila daftar sebagai tanggungan, sijil digital vaksinasi remaja akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera ibu bapa. Selain itu, KKM juga akan berikan kad vaksinasi sebagai tanda remaja terbabit telah menerima suntikan vaksin,” katanya.
BERNAMA
Disunting oleh Nurshazlin Shahrom