DomestikSemasa

Kes curi air, pemilik restoran didenda RM5,000

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban mengenakan denda sebanyak RM5,000 kepada seorang pemilik restoran di Seremban 2 di sini, semalam atas kesalahan mencuri air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), empat tahun lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail, berkata Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mewakili premis berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Katanya, lelaki terbabit mengaku telah menyalahi undang-undang membenarkan penyambungan semula bekalan air setelah bekalan air di premis terbabit dipotong oleh SAINS.

“Berdasarkan fakta kes, serbuan yang telah dilaksanakan oleh SAINS pada 29 November 2017 di tapak mendapati penghuni premis itu membuat satu penyambungan semula atau membenarkan penyambungan semula bekalan air tanpa kebenaran pemegang lesen pengagihan air di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 65).

“Denda yang diperuntukkan di bawah seksyen ini adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertuduhan itu, hakim mengenakan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan tertuduh telah membayar denda yang dikenakan pada hari yang sama.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button