Ustazah Asma’ Harun luah rasa bimbang risiko pembukaan semula pawagam
Kerajaan telah mengumumkan pembukaan semula pawagam kepada individu yang telah lengkap menerima dos vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam.
Pengumuman ini merupakan berita baik kepada mereka yang merindui untuk menonton filem di skrin besar setelah sekian lama panggung wayang terpaksa ditutup berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Namun, perkara ini turut menerima pelbagai reaksi masyarakat termasuklah golongan selebriti dan agamawan.
Pendakwah terkenal, Asma Harun turut terpanggil untuk menyuarakan pandangan khususnya mengenai kelonggaran dan kebenaran panggung wayang untuk kembali beroperasi bermula semalam.
Asma melalui satu hantaran Facebook berkata pembukaan semula pawagam dikhuatiri boleh menjadi lubuk penularan wabak Covid-19 dan menggalakkan aktiviti tidak bermoral dalam kalangan anak muda.
“Ya, kita faham, mereka juga perlu cari pendapatan, dan kita tahu memang berjuta rakyat hilang kerja dan tukar sumber rezeki kesan daripada pandemik.
“Saya percaya mereka yang terlibat dengan dunia pawagam juga melalui hal yang sama, termasuk para artis filem, ramai yang dah ada sumber pendapatan lain..
“Mungkin saya yang berfikiran pendek dan cetek, saya bayangkan, jika seorang sahaja pembawa, dalam tempoh 2 jam berada dalam pawagam, tempat tertutup dan berhawa dingin, ia sangat berisiko.
“Bimbang bukan pecah rekod tayangan atau blockbuster, tapi pecah rekod Covid-19. Belum cerita bab pergaulan bebas, buka ruang maksiat muda-mudi dan lain-lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Asma menyedari ruangan komen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut dilimpahi rasa ketidakpuashatian orang ramai.
“Banyak pihak buat perbandingan dengan masjid yang masih belum dibuka untuk kapasiti mengikut keluasan, kuliyah dhuha dan lain-lain pengajian agama, tetapi pawagam dengan kapasiti 50% dibenarkan?” soalnya.
Walaupun kurang bersetuju dengan keputusan pihak berkuasa itu, beliau yakin pihak berwajib buat keputusan terbaik mengikut situasi semasa berdasarkan kajian dan penilitian yang mendalam berkaitan masjid dan surau.
Beliau turut berkata masyarakat faham dan hormati bahawa pengurusan agama adalah di bawah kuasa negeri-masing.
“Kita juga faham dan hormati bahawa Pengurusan Agama adalah di bawah kuasa negeri masing-masing.
“Kita masih perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan endemik.
“InsyaAllah tak lama lagi kerinduan kita kepada Masjid, surau dan majlis ilmu alam nyata akan jadi kenyataan,” katanya.
Oleh Hafeez Anuar