
KOTA BHARU : Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, mendengar lapan pertuduhan pertuduhan jenayah seksual yang didakwa dilakukan oleh seorang pengurus madrasah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Budak.
Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, didakwa atas lapan pertuduhan jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki pada November 2017 hingga Oktober tahun lalu.
Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar.
Tertuduh diwakili peguam, Sharudddin Mohamed.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh dengan maksud seksual meraba kanak-kanak lelaki yang mana dia mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Kejadian didakwa dilakukan di asrama madrasah dan sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang pada jam 11 malam sekitar November 2017 hingga September 2018.
Ketika kejadian, mangsa berusia 15 tahun dan 16 tahun.
Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual meraba kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun yang mana dia mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak itu.
Kedua-dua kejadian itu didakwa berlaku pada 29 Oktober 2020 jam 11 malam di sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Paloh Rawa.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 16 adalah tambahan kepada penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.
Terdahulu, Sharudddin memohon ditawarkan jaminan memandangkan tertuduh perlu menanggung enam adik beradik serta ibu yang orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM40,000 dengan tiga penjamin serta perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan dan menetapkan 17 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.