Usaha lahirkan 125,000 huffaz profesional bukti pemimpin cakna – PINTA
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) menyambut baik usaha dilakukan kerajaan bagi melahirkan seramai 125,000 orang huffaz (hafiz & hafizah penghafal Al-Quran) dari seluruh negara yang memiliki kemahiran profesional Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pengajian ilmu tahfiz ini adalah pengajian yang akan membina sahsiah dan jati diri. Kerajaan kini telah melihat institusi tahfiz ini bukan dengan hujung mata tetapi melihat dengan realiti sebenar-benarnya, kerajaan cakna dengan situasi institusi tahfiz negara,” kata Ustaz Mohd Zahid dalam satu temubual.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Himpunan 23,000 Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur awal Mac lalu berkata kerajaan mahu melahirkan 125,000 huffaz di seluruh negara menjelang tahun 2050.
Dalam majlis sama, mewakili Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid telah melancarkan Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz.
Pelan tindakan dan garis panduan ini akan menjadi rujukan utama bagi aspek penambahbaikan pengurusan institusi tahfiz dan masa depan pendidikan tahfiz di Malaysia dalam Pembangunan Malaysia Madani.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih untuk mempersiapkan modul dan pedagogi pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar dan tenaga pelajar.
UPSI juga telah mengambil langkah ke hadapan bersama PINTA dalam menyediakan modul pengajian untuk huffaz bagi perlaksanaan program jangka pendek peringkat sijil, diploma dan ijazah.
BACA JUGA
PKP bukan halangan MAPIM sampaikan amanah ummah kepada tahfiz