BanjirSemasa

Usah lalai, hari ini Pakistan, esok mungkin negara anda ditimpa bencana – Setiausaha Agung PBB

Guterres menyifatkan Pakistan kini diserang monsun yang dipacu steroid

GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan Pakistan hari ini diserang ‘monsun yang dipacu steroid’, kini sudah menenggelamkan satu pertiga negara itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa dunia untuk membantu Pakistan ketika melancarkan rayuan bantuan awal AS$160 juta (RM716 juta) untuk membantu puluhan juta penduduknya yang terjejas akibat bencana alam itu.

Menurut Guterres, rayuan PBB itu bertujuan menyediakan makanan, air, sanitasi, pendidikan kecemasan dan sokongan kesihatan bagi 5.2 juta mangsa banjir.

Katanya, punca malapetaka itu adalah ‘kesan hujan dan banjir berterusan’, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 1,350 nyawa selain memusnahkan jalan raya, tanaman, rumah serta menghanyutkan jambatan di seluruh negara.

Kredit foto twitter @ajplus

Rekod monsun tahun ini adalah setanding dengan banjir besar pada 2010 – yang paling dahsyat dalam sejarah Pakistan – mengorbankan lebih 2,000 mangsa.

Guterres, dalam mesej video yang dimuat naik ke twitter rasminya turut menyatakan bahawa Asia Selatan kini menjadi ‘tompok panas krisis iklim’ dengan nyawa penduduk di kawasan berkenaan 15 kali lebih terancam akibat kesan cuaca dicetuskan perubahan iklim itu.

“Mari kita berhenti bergerak ke arah kemusnahan planet yang disebabkan perubahan iklim. Hari ini, musibah berlaku di Pakistan dan esok mungkin negara anda pula,” katanya.

Tambah beliau, Pakistan menghasilkan kurang satu peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global tetapi terus berada dalam lingkungan 10 negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Banyak faktor menyumbang kepada banjir, tetapi suasana pemanasan global yang disebabkan oleh perubahan iklim mengakibatkan kadar taburan hujan yang melampau.

Guterres juga memberi amaran bahawa suhu global sudah meningkat sebanyak 1.2 darjah Celsius sejak permulaan era perindustrian dan ia akan terus meningkat kecuali kerajaan di seluruh dunia bertindak segera terhadap pelepasan gas hijau.

Guterres dijadualkan akan ke Islamabad esok bagi melakukan tinjauan sekitar kawasan bencana dan bertemu pemimpin negara itu.


Negara Pakistan terus lumpuh & kerajaannya merayu sumbangan dunia.

Marilah kita bersama-sama membantu dengan cara menyumbang, menerusi

Akaun Maybank :
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066

atau layari laman web:
www.rayuanPakistan.com

MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button