DomestikInspirasiSemasa

UniMAP cipta sistem Al-Quran digital

KANGAR: Bagi memudahkan imam membaca ayat lebih pajang dalam solat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah membangunkan sistem Al-Quran Digital kawalan Tanpa Wayar.

Teknologi yang canggih itu dibangunkan oleh Pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong Kangar, iaitu Profesor Ir Dr Anuar Mat Safar yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN).

Untuk solat Tarawih pada Ramadan kali ini, masjid itu merupakan masjid yang pertama menggunakan teknologi berkenaan.

Dekan FTKEN, Prof Madya Ts Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata, projek yang dilaksanakan itu hasil Kerjasama Masjid Al-Ariffin, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), FTKEN dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM).

“Dengan adanya sistem berkenaan, Imam Satu masjid, Ustaz Muhammad Khidhir Abdul Ghani boleh membaca ayat yang lebih panjang dan boleh menggerakkan muka surat seterusnya dalam solat tanpa memerlukan pergerakan besar.

“Menerusi sistem ini, imam akan membaca surah melalui al-Quran digital yang dipancarkan di skrin dan boleh dikawal pergerakan muka surat menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peranti yang dipakai pada pergelangan tangan untuk menukar muka surat Al-Quran digital Foto Ihsan – UniMAP

Antara kakitangan FTKEN dan FTKM yang terbabit dalam inisiatif itu ialah Dr Iszaidy Ismail, Dr Ilman Jais, Ir Dr Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahman, Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan Mohd Hazwan Mohd Hanid.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman Sauli, berkata, UniMAP komited dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang boleh membantu komuniti setempat dalam jangka masa panjang.

“Teknologi itu juga berpotensi dikomersial dan digunakan di masjid, surau bahkan boleh digunapakai untuk kegunaan solat di rumah,” katanya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button