DuniaPalestinSemasa

UNICEF, UNRWA memperbaharui perjanjian untuk terus menyokong kanak-kanak pelarian Palestin

RAMALLAH: Dua agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memperbaharui perjanjian pada Isnin lalu bagi memberi sokongan kepada kanak-kanak, remaja, dan wanita pelarian Palestin di negara Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria.

United Nations Children’s Fund (UNICEF) dan The United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa mereka akan bekerjasama dalam bidang perlindungan sosial, pendidikan, kesihatan, advokasi dan kesediaan kecemasan kanak-kanak.

“Sebagai sebuah agensi, UNRWA amat percaya bahawa inisiatif gabungan perlindungan, kesihatan, pendidikan dan advokasi dapat mengurangkan kesan konflik dan keganasan terhadap kanak-kanak serta menyumbang kepada kesejahteraan mereka,” kata Leni Stenseth, Timbalan Pesuruhjaya Agung UNRWA.

Gabungan agensi itu akan menjalankan kajian, analisis situasi wanita dan kanak-kanak, menyelidik dan menggalakkan perubahan sosial serta menangani norma juga amalan sosial dan jantina yang berbahaya.

Kerjasama itu meningkatkan penyelarasan kemanusiaan termasuk semasa krisis, meningkatkan kapasiti menganalisis risiko dan meningkatkan kesediaan mengurangkan krisis.

“Kami berbesar hati memperbaharui komitmen kami untuk membantu pelarian Palestin melalui perjanjian ini. UNICEF dan UNRWA telah bekerjasama selama beberapa dekad lalu hingga kini.

“Dengan perjanjian ini kami akan terus memajukan program sensitif-kanak-kanak dengan menyediakan bantuan teknikal, meningkatkan sokongan untuk pembelajaran digital, penyampaian vaksin COVID-19 dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan vaksin dan advokasi bersama mengenai hak kanak-kanak” kata Ted Chaiban, Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.

Perjanjian empat tahun dari 2022 hingga 2025 akan meliputi program Perlindungan kanak-kanak dengan penyediaan bantuan teknikal, nasihat dasar dan advokasi dan pengaturcaraan bersama, Pendidikan bagi memberi tumpuan kepada kesinambungan pembelajaran termasuk dalam masa krisis, pembelajaran digital, menangani keganasan di sekolah serta pembangunan kemahiran hidup untuk golongan muda termasuk persediaan menyertai pasaran buruh dan Perlindungan Sosial bagi mengurangkan kesan kemiskinan termasuk melalui bantuan tunai kewangan kepada keluarga.

Ia juga akan merangkumi bahagian Kesihatan untuk kesihatan para ibu dan anak, pengurusan penyakit kanak-kanak, kekurangan zat makanan, imunisasi, tindak balas terhadap pandemik COVID-19 termasuk penghantaran vaksin. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Related Articles

Back to top button