KUALA LUMPUR: Seorang warga emas yang dikenali sebagai ‘Uncle Tong’ kelihatan ceria ketika turut menyertai pemeriksaan kesihatan percuma di Mobile Clinic PPR Pinggiran Bukit Jalil, semalam, sebuah program anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama MAPIM Malaysia.
Beliau ialah Chong Khim Tong, 83, bersemangat turun bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma biarpun terpaksa bertongkat.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Pinggiran Bukit Jalil, Nazariah Othman, 49, Uncle Tong adalah antara warga emas yang hadir meskipun pergerakan agak terbatas akibat faktor umur tetapi perkara itu tidak mematahkan semangatnya.
“Uncle Tong mempunyai anak tetapi mereka tidak tinggal bersama kerana beliau ingin hidup berdikari,” katanya.
Difahamkan, anak kepada ‘Uncle Tong’ tinggal berhampiran dengannya di PPR Bukit Jalil.
Tambah Nazariah, Uncle Tong pernah pengsan akibat keadaan cuaca terlalu panas yang mengakibatkan beliau mendapat luka ringan.
‘Uncle Tong’ tidak mempunyai isu kesihatan yang banyak seperti lazim berlaku pada orang lain seusianya tetapi hanya mempunyai darah tinggi dan kencing manis.
Program Mobile Clinic ini telah memberikan manfaat kepada ratusan penduduk di PPR Bukit Jalil, dan program seperti ini akan diteruskan lagi di kawasan terpilih di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, “Kisah Uncle Tong ini adalah bukti jelas program Mobile Clinic ini terbuka untuk semua agama dan bangsa. Kami tidak memilih siapa yang mahu dirawat, tetapi kami sentiasa memilih kaedah yang terbaik dalam memberikan bantuan kepada yang memerlukan. Mobile Clinic ini adalah antara caranya.”
Menyokong kenyataan (Dr.) Sani Araby Al Kahery ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Encik Mohd Nizam Haji Yahya, yang berharap lebih ramai lagi yang akan mendapatkan perkhidmatan percuma ini dan seterusnya memberi bukti jelas bahawa agama Islam ini adalah agama kebajikan.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah TodayÂ