Covid19Semasa

Umrah dibenar semula mulai 8 Februari ini

KUALA LUMPUR : Umat Islam dibenarkan untuk mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini selepas kabinet sebulat suara memutuskan perkara itu, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Januari susulan penularan jangkitan varian Omicron Covid-19.

“Kita tidak mahu memanjangkannya lagi tempoh penggantungan jadi apabila 8 Februari ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya.

Nancy berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak.

“SOP dari dulu sama. Cuma hanya ada beberapa SOP baharu untuk jemaah dan itu akan dibincangkan bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan susulan peningkatan varian Omicron Covid-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Penilaian risiko situasi Covid-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi  dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Dalam pada itu, mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata, ia belum diputuskan lagi.

-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button