PendidikanSemasa
Trending

Ulasan filem Buya Hamka Vol. 1 – agamawan, sasterawan, pejuang dan suami

Apabila menerima jemputan tayangan perdana filem Buya Hamka Vol. 1 daripada Jejak Tarbiah, saya pun bermotosikal dari Nilai ke KLCC (untuk elak ‘jem‘). Apabila sampai di sana, saya melihat tetamu jemputan terdiri daripada penggiat sastera, aktivis seni, ahli politik (dua menteri) dan ahli akademik. Saya yakin mereka ini akan mengulas filem ini dengan lebih kritis dan berat.

Jadi untuk ulasan filem Buya Hamka Vol. 1 ini saya memilih sudut pandang seorang awam. Maksudnya, penonton yang tidak pernah tahu tentang Hamka sehingga kepada yang mungkin sudah membaca sebuah buku Hamka. Ini kerana golongan awam inilah yang paling perlu ditarik untuk menonton filem biografi ini.

Ini bukanlah ulasan daripada POV golongan peminat tegar Hamka atau pengkajinya. Ulasan golongan ini pasti berbeza lagi.

Filem Buya Hamka dibahagikan kepada tiga bahagian dan semuanya berdurasi selama tujuh jam. Untuk bahagian pertama atau Vol. 1 ini, ia mengambil kisah di tengah-tengah kehidupan Hamka, untuk Vol. 2 akan mengambil bahagian akhir hidup Hamka dan Vol. 3, filem Hamka akan berpatah balik kepada awal-awal kehidupan Hamka dari kecil. Jadi, Vol. 1 ini bertindak sebagai hook.

Pelakon Vino G. Bastian berperanan sebagai Hamka dan Laudya Cynthia Bella sebagai Siti Raham, isteri Hamka. Manakala untuk Sukarno, Anjasmara menjadi pelakonnya.  Mereka adalah pelakon elit dan markah A untuk lakonan mereka. Cuma ada lakonan pelakon pembantu terutamanya semasa mesyuarat (filem ini ada banyak mesyuarat) yang masih kuat mengangguk sebelum saling pandang memandang kemudian mengangguk-angguk lagi sesama mereka.

Untuk orang awam, selepas menonton filem biografi ini, saya jamin anda akan mendapat kesimpulan bahawa Hamka adalah suami yang baik, setia lagi romantik, seorang agamawan yang kreatif dalam menyampaikan dakwah dan seorang yang sangat cintakan tanah air dan agama.

Cuma apabila berbicara sebagai sebuah filem, walaupun sebagai orang awam, tetap akan ada beberapa persoalan.

BACA JUGA
Sejarah ibadah korban

Filem ini dimulakan dengan babak semasa Hamka dipenjara pada tahun 1964. Mereka bercakap dalam dialek orang Minang yang mungkin ramai tidak biasa tetapi tidak ambil masa yang lama bagi menyesuaikan diri. Waktu ini Hamka digambarkan sudah sangat tua dan mungkin ada penonton yang hairan, Hamka meninggal pada tahun 1981 pada usia 73 tetapi kenapa pada tahun 1964 dia sudah tua benar?

Sebenarnya, semasa Hamka berada di dalam penjara dia jatuh sakit, cuma solekannya lebih menampakkan dia uzur seorang tua, bukan uzur sebagai orang sakit. Jadi ini perlu diluruskan supaya tidak timbul salah faham.

Selepas babak itu, ia bertolak balik ke belakang pula ke tahun 1933 semasa Hamka dan keluarganya tinggal di Makassar dan menjadi ketua cawangan Muhammadiah di sana. Di sinilah kita akan mengetahui sisi hidup Hamka yang mahu diketengahkan dalam filem ini, iaitu sisi Hamka sebagai seorang suami romantik, yang punyai isteri yang sangat memahami dan mendukung.

Adegan bermula semasa Hamka sedang menaip lalu isterinya Siti Raham datang membawa air. Tidaklah saya tahu, babak perbualan di hadapan mesin taip itu adalah permulaan kepada beberapa babak lagi perbualan di hadapan mesin taip.

Namun perbualan-perbualan itu bukan sekadar basa-basi tetapi diisi dengan ‘quote yang deep‘, dan bukankah kata-kata ‘deep‘ Hamka juga adalah tarikan filem ini? Dan kata-kata Hamka yang mahsyur, ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, monyet juga bekerja’ ada disertakan dalam filem ini. Ia diucapkan dengan penuh bergaya.

Di Makassar juga cinta Hamka akan diuji apabila ada warga yang menawarkan anak gadisnya yang cantik sebagai isteri kedua kepada Hamka. Saya difahamkan, zaman dahulu ini bukanlah perbuatan yang ganjil. Ini kerana sang ayah mahu anaknya dijaga oleh orang yang pandai agama dan ketika itu juga Hamka dipandang tinggi oleh penduduk Makassar sebagai ulama.

Hamka menolak dengan bijak. Bijak yang bagaimana? Bolehlah tonton dan cara itu boleh diamalkan oleh para isteri atau suami yang menolak berkahwin dua.

Romantik Hamka dan Siti Raham berlanjutan lagi sehingga kepada satu babak yang saya fikir pengarah filem ini terlalu berlebihan sehingga terlihat ‘eh eh’.

Ada satu ketika, Hamka menunggu Siti Raham habis solat dan selepas bertanya kenapa lama sangat, Siti Raham berkata dia berdoa, supaya rezeki suaminya itu murah dan boleh membeli sehelai lagi sejadah dan tidak perlu berkongsi sejadah lagi. Rupa-rupanya, Hamka memang tunggu Siti Raham habis solat kerana dia pula yang mahu menggunakan sejadah itu.

Kalau orang biasa, mungkin bolehlah babak romantik itu. Tapi untuk Hamka yang tinggi ilmu agama, babak itu nampak tidak kena. Pertamanya, Hamka mestilah tahu sejadah bukan kewajiban, dan persoalan kedua, Hamka tidak solat berjemaah ke?

Kurang pasti babak itu memang ada atau ia dibuat sehingga lari daripada konteks sebenar. Namun ia jelas tidak cermat dalam membina imej Hamka.

Bercerita tentang ‘tidak cermat’, ada satu babak lagi di mana Hamka yang kagum dengan keberanian seorang gadis yang mengambil keputusan melanjutkan pelajarannya, Hamka menyebut Subahanallah. Kemudian ketika Hamka memuji baju kot baru yang dipakai rakannya, juga dia menyebut Subahanallah.

Untuk orang awam, mungkin biasa sahaja. Tetapi untuk orang tinggi ilmu agama seperti Hamka, mesti tahu, ucapan yang afdal ketika kagum atau memuji kelebihan dan keindahan sesuatu adalah – Masya-Allah.  Manakala Subahanallah pula ucapan apabila melihat sesuatu yang sebaliknya.

Untuk babak-babak seterusnya dapat diperhatikan beban pengarah dan penulis skrip bagi memadatkan peristiwa-peristiwa penting dalam hidup Hamka sehingga penonton rasa tidak puas, kerana seperti hanya diberi maklumat tentang peristiwa itu tanpa pembinaan yang lebih mencengkam emosi. Misalnya peristiwa pejabat Hamka diserbu Belanda, ketika zaman pemerintahan Jepun, semasa Hamka bertemu Sukarno, dan paling ralat ketika Hamka di atas kapal dengan seorang perempuan cantik berbaju merah yang merenungnya. Mungkinkah ada penjelasan di Vol 2 atau 3?

Namun untuk adil, sekiranya seluruh kisah hidup Hamka mahu diberi detail, ia lebih sesuai drama bersiri 10 sehingga 18 episod. Ini kerana kisah hidupnya memang sudah sedia menarik dan penuh perjuangan sejak dia kecil lagi.

Hamka tanpa air mata, rasanya tidak lengkap. Ada beberapa babak dalam filem ini buatkan air mata penonton menitik. Babak apa? Mohon tonton sendiri.

Yang paling saya suka dalam filem ini adalah ketika adegan novel bersiri Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wick ‘meletup’. Di gerai-gerai tepi jalan, orang yang pandai membaca, membacanya kuat-kuat dan kemudian ada yang menangis teresak-esak. Luar biasa.

Filem ini kemudian terhenti ketika Buya Hamka sedang bersemangat melawan Belanda. Dan adegan ketika itu saya akui memang menimbulkan semangat patriotik walaupun untuk orang Malaysia. Lanjutan perjuangan menentang penjajah itu akan keluar di Vol. 2 nanti.

Ada banyak lagi sebenarnya babak-babak menarik tetapi eloklah ditonton sendiri. Kalau rasa tidak puas lagi, bolehlah terus dibeli buku-buku Hamka dari penerbit rasminya di Malaysia, Jejak Tarbiah. Insya-Allah tidak rugi.

Untuk kesimpulan akhirnya, sebagai sebuah filem biografi ini adalah sebuah filem yang perlu ditonton bersama keluarga kerana manfaatnya lebih banyak berbanding kekurangannya. Jadi adakah perjalanan saya dari Nilai ke KLCC berbaloi? Ya, berbaloi.



Mari melaksanakan ibadah korban 2023/1444H bersama MAPIM Malaysia.

Mengapa MAPIM Malaysia?

✅ Haiwan ternak yang berkualiti dan terpilih.
✅ Antara harga termurah dipasaran
✅ Reputasi MAPIM yang dipercayai.
✅ Memudahkan urusan anda dari mula sampai akhir.

Ibadah korban adalah Sunat Muakkad iaitu sunat yang DI TUNTUT bagi umat Islam mengerjakannya.

Insyaallah ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar yang berlipat ganda dari Allah SWT.

“Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.”  
(HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

Sertai ibadah korban bersama MAPIM Malaysia, layari  www.ibadahqurban.com

ATAU

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016. 

Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia

 

Related Articles

Back to top button