Sebelas November 2004, adalah tarikh kematian pejuang Palestin yang terkemuka, Yasser Arafat pada ketika umurnya 75 tahun di sebuah hospital di Perancis.
Hanya sebulan sebelum itu Arafat masih sempat makan malam di rumahnya di Ramallah yang dikepung oleh rejim israel.
Ada banyak teori yang mengatakan kematian Yasser Arafat bukanlah berpunca daripada sebab semula jadi. Memetik berita Washinton Post, beliau mungkin diracun, sama ada oleh saingan politiknya, orang dalam, ataupun ejen-ejen israel.
Laporan setebal 108 muka surat oleh penyiasat Swiss, hasil daripada ujian pada barangan dan tubuh Yasser Arafat seperti rambutnya, topi bulu biri-biri dan juga kesan urin pada pakaian dalamnya menunjukkan wujud bukti yang mencurigakan.
Ada kemungkinan kematiannya disebabkan oleh keracunan polonium-210. Ini adalah zat yang sangat radioaktif, 250.000 kali lebih beracun daripada sianida.
“Ini telah membuktikan semua keraguan kami,” kata balu Arafat, Suha, kepada Reuters.
Arafat telah mengabadikan hidupnya kepada perjuangan membebaskan Palestin daripada israel. Beliau bermula sebagai pejuang gerila, kemudiaannya menjadi negarawan.
Selain menjadi musuh kepada israel, ada keputusan Arafat yang tidak disenangi oleh orang Palestin sendiri. Terutamanya ketika beliau menandatangi Perjanjian Oslo, iaitu perdamaian dengan pihak israel. Ironinya, perjanjian kedamaian itu masih belum terlaksana sehingga hari ini.
Namun Arafat menandatangi perjanjian itu bukan kerana tiada sebab ataupun dia sudah berlembut kepada israel, tetapi kerana mahu memberikan ruang kepada penduduk Palestin untuk hidup dan tumbuh menjadi sebuah masyarakat yang benar-benar kuat.
Ini kerana sepanjang pengalamannya menjadi pemimpian bersenjata FATAH kepada ketua parti politik PLO, beliau melihat jalan kekerasan semakin tidak menyebelahi penduduk Palestin. Dunia Arab semakin tidak bersatu, dan israel sendiri semakin kuat dengan dukungan Amerika Syarikat dan sekutunya.
Berkenaan kematian Arafat yang mencurigakan, pihak israel berulang kali membantah keterlibatan mereka. Walaupun mengikut kronologi, selepas makan malam pada 12 Oktober 2014 di kediamannya di Ramallah, Arafat mula mengalami sakit perut dan mual-mual.
Tujuh belas hari kemudian, Israel mengizinkan Arafat ke Hospital Tentera Percy di Perancis, di mana dia meninggal pada 11 November 2004.
Sehingga kini, ramai penduduk Palestin percaya kematian Arafat adalah dirancang oleh pihak israel, kerana pihak israel memang terkenal dengan pembunuhan senyapnya.
Namun, Yasser Arafat tetap akan dikenang sebagai pejuang Palestin yang selalu dalam seragam hijau zaitun, janggut abu-abu, dan mafla kotak-kotak yang digayakan dengan cara tersendiri. Gambar-gambar beliau akan terus terpampang di rumah-rumah penduduk Palestin dan menjadi simbol perjuangan Palestin itu sendiri.