UKM lancarkan Hijabbib untuk peguam wanita muslimah
Direka bagi mengatasi masalah keciciran bib yang wajib dipakai ketika menghadiri prosiding mahkamah
BANGI: Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin melancarkan ‘HIJABBIB’ yang menjadi fesyen hijab pertama dikhususkan untuk peguam Muslimah.
Menurut Ketua Penyelidik HIJABBIB, Dr Saidatul Nadia Abd Aziz, HIJABBIB direka bagi mengatasi masalah keciciran bib yang wajib dipakai peguam wanita Muslim ketika menghadiri prosiding mahkamah.
“Saya sebenarnya seorang peguam sebelum menjadi ahli akademik. Saya sendiri kerap tertinggal bib untuk menghadiri perbicaraan dulu. Jadi, selepas berbincang, tercetuslah idea untuk sekalikan bib dengan tudung yang boleh dipakai sekali sahaja tanpa banyak lapis.” jelas Dr Saidatul ketika ditemubual wartawan.
Tambah beliau, HIJABIB dihasilkan menggunakan kain premium yang sejuk dan akan memudahkan kerja menyeterika. Ia juga menepati ukuran serta piawaian profesion guaman malah boleh dijadikan fesyen harian.
Idea HIJABBIB tercetus pada tahun 2020 dan merupakan produk inovatif penyelidikan pertama oleh Fakulti Undang-Undang UKM serta telah mendapat Anugerah Khas Perintis Inovasi dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA 2022.
Ini menjadi bukti Fakulti Undang-Undang UKM dari bidang Sains Sosial juga mampu untuk menghasilkan paten yang berpotensi untuk dikomersialkan. Pusat Inovasi bersedia dan sentiasa akan membantu penyelidik-penyelidik yang berminat untuk mengkomersialkan penyelidikan mereka kepada pasaran.