Ujian RT-PCR Covid-19 percuma untuk bakal jemaah haji

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji boleh melakukan ujian saringan RT-PCR Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan yang diberikan secara percuma.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bakal jemaah perlu menanggung kosnya sendiri jika melakukan ujian saringan itu di fasiliti swasta.
Menurutnya lagi, berikutan pandemik Covid-19 kerajaan Arab Saudi menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit yang ketat bagi mengekang penularan tersebut.
Arab Saudi turut menetapkan semua jemaah haji perlu disahkan negatif Covid-19 menerusi ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Tanah Suci.
“Dengan ini, bakal jemaah yang mendapatkan ujian pengesahan di fasiliti KKM terpilih akan menjalaninya secara percuma.
“Bagi bakal jemaah haji yang memilih untuk melakukan ujian RT-PCR Covid-19 di fasiliti kesihatan swasta, kos ujian itu perlu ditanggung sepenuhnya oleh jemaah mengikut caj yang dikenakan di fasiliti terpilih itu,” katanya.
Bagi tahun 2022 Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar.
Tambahnya lagi, jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan atau Pejabat Tabung Haji di daerah masing-masing bagi mengetahui maklumat lanjut berkenaan perkara itu termasuklah fasiliti kesihatan KKM yang melaksanakan perkhidmatan ujian pengesahan Covid-19 (RT-PCR).
-Agensi