Tun Dr. Mahathir dibenar keluar IJN hari ini
KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi tadi.
IJN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan ke institut tersebut bagi menjalani rawatan perubatan dan dibenarkan keluar hari ini dan beliau akan menjalani pemulihan di rumah.
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) February 5, 2022
“Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatian dan doa mereka apabila Dr Mahathir dimasukkan ke IJN.
Terdahulu, Dr Mahathir itu dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN pada 22 Januari lalu dan diberitahu beliau berada dalam keadaan stabil dan mula sedar sepenuhnya pada 23 Januari.
Pada Jumaat, dalam hantaran di akaun media sosialnya memaklumkan, sejak 2 Februari (Rabu) lalu, beliau dibenarkan pulang ke rumahnya di The Mines, Sungai Besi dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Langkawi telah menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut sepanjang di pusat rawatan berkenaan.