Semasa

Tumpahan minyak di Pantai Thailand diisytihar kawasan bencana

BANGKOK : Pantai di Teluk Siam telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan kebocoran saluran paip dasar laut yang mengakibatkan tumpahan minyak besar, menurut laman berita Wion News

Tentera laut kini bekerjasama dengan Star Petroleum Refining Public Company Limited (SPRC) bagi menyelesaikan kebocoran yang masih mencemarkan pantai.

Pemecahan paip SPRC, yang berlaku pada pukul 9 malam (waktu tempatan) pada Selasa minggu lalu, akhirnya berjaya dikawal, namun dianggarkan sehingga 50,000 liter minyak dipercayai bocor ke laut.

“Kami dan perbadanan terus berusaha untuk mengurangkan kesan kebocoran dengan menyedut minyak yang tertumpah dan menyembur cecair dispersan,” kata timbalan komander Tentera Laut, Laksamana Muda Artorn Charapinyo.

Menurut Reuters, kira-kira 150 kakitangan SPRC dan 200 tentera laut telah dihantar ke wilayah itu bagi membersihkan pantai.

Terdapat juga 12 kapal tentera laut dan tiga kapal awam terlibat, menurut laporan.

Kejadian serupa berlaku sebelum ini di pantai selatan California, yang disifatkan oleh Datuk Bandar Huntington Beach sebagai “malapetaka alam sekitar.”

Kebocoran itu mengakibatkan kematian ikan dan bangkai burung berselerak di atas pasir pantai yang dilumuri minyak.

Sebanyak 572,807.34 liter minyak mentah bocor di Lautan Pasifik, meliputi kawasan seluas 33.4 kilometer persegi.

Tumpahan itu turut menjejaskan bandar pantai kira-kira 64 batu di selatan Los Angeles.

-AGENSI

Related Articles

Back to top button