Semasa

Tujuh cadangan mudah membina keluarga bahagia

Tiada apa yang boleh menggantikan nikmat keluarga bahagia walaupun ditawarkan dengan semua keseronokan di dunia ini. Malah ramai yang hanya mampu bermimpi bagi membina keluarga dan berpelukan dengan orang tersayang.

Kebahagiaan sebuah keluarga tidak berlaku dengan sendirinya; ia menuntut usaha yang berterusan tetapi bagaimana?

Membina keluarga bahagia tidak ada formula yang utuh, tetapi ia ada contoh dan cadangan yang boleh diikuti. Berikut adalah tujuh cadangan membina keluarga bahagia:

  1. Solat berjemaah bersama

Nilai keluarga dan kestabilan rumah tangga ditekankan dalam hampir semua agama. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa pandangan agama akan mempengaruhi hubungan kita dengan pasangan.

Menariknya, dalam satu kajian oleh General Social Survey (GSS) di Amerika Syarikat, mereka yang kerap hadir dalam majlis agama didapati lebih rendah kemungkinan curang terhadap pasangan berbanding mereka yang hadir hanya sekali setahun atau tidak pernah hadir.

Bahkan mengikut kajian itu, faktor kehadiran dalam majlis-majlis keagamaan adalah faktor paling kuat berbanding faktor lain dalam menentukan kemungkinan kecurangan seorang lelaki ataupun perempuan.

Jadi, hadir ceramah di masjid dan solat berjemaah sesama ahli keluarga bukan sahaja membentuk corak yang sihat tetapi juga meningkatkan hubungan kekeluargaan. Apabila seseorang itu lebih beragama, mereka akan teragak-agak melakukan aktiviti yang dilarang.

2.  Makan malam bersama

Ini mungkin kelihatan biasa sahaja, tetapi masa makan keluarga sangat penting.

Percaya ataupun tidak, penyelidikan Universiti Michigan mendapati jumlah masa yang dihabiskan anak untuk makan di rumah adalah penunjuk terpenting prestasi akademik dan tingkah lakunya.

Makan tengah hari bersama keluarga didapati memberi impak yang lebih besar kepada anak-anak berbanding aspek lain, seperti jumlah masa yang dihabiskan di sekolah, belajar, atau menyertai aktiviti sukan.

Untuk itu, buang semua gajet dari meja makan. Bersama-sama membaca doa, bertukar-tukar cerita harian dan membuat rancangan untuk aktiviti esoknya. Ini adalah antara cara terbaik bagi membina keluarga yang bahagia.

Amalkan aktiviti makan bersama-sama agar tidak ada yang merasa terpinggir. Sekiranya ada keluarga tidak dapat makan bersama setiap hari, kajian menunjukkan makan bersama sekali seminggu sudah memadai bagi memberi pengaruh kepada anak-anak.

3. Kongsi sejarah keluarga

Penyelidikan yang melibatkan 48 buah isi rumah menunjukkan anak-kanak yang memahami sejarah keluarga mereka lebih mampu mengawal kehidupan dan punyai keyakinan diri yang lebih baik.

Bercerita berkenaan sejarah keluarga adalah penting untuk perkembangan anak-anak. Kanak-kanak yang tidak biasa dengan suka duka keluarga akan mengambil mudah semua keseronokan yang mereka alami sekarang.

4. Keluarga bahagia jika libatkan datuk dan nenek

Penglibatan datuk dan nenek adalah sama penting. Dalam tinjauan 1992 terhadap 66 kajian mendapati ibu yang mendapat sokongan datuk dan nenek, mempunyai anak yang kurang tertekan dan lebih mampu menyesuaikan diri.

Kajian lain mendedahkan bahawa apabila datuk dan nenek aktif dalam kehidupan cucu mereka, ia akan meningkatkan kemahiran sosial anak-anak itu, lebih suka terlibat dalam aktiviti sekolah, dan menjadi lebih sensitif kepada orang lain.

Jadi, sekiranya anda tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa, mungkin inilah masa yang sesuai untuk kembali berbaik-baik dengan mereka.

Anak-anak anda mungkin kehilangan sistem sokongan hidup yang penting tanpa mereka. Malah, hubungan yang tidak menyenangkan itu mungkin berulang kembali dalam hubungan anda dengan anak-anak.

5. Libatkan keluarga dalam komuniti

Kajian lanjut mendapati keluarga yang kuat amalan keagamaannya lebih gembira kerana mereka adalah sebahagian daripada komuniti. Komuniti agama mewujudkan rasa kekitaan dengan berkongsi nilai yang sama.

Jadi, bawalah anak-anak ke aktiviti setempat. Sama ada pergi ke masjid, membantu majlis korban, atau bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan.

6. Beri autonomi kepada anak-anak

Apabila kanak-kanak merancang sesuatu atau mempunyai pendapat sendiri, maka pertimbangkan ia dalam proses perancangan anda kerana mereka akan menjadi lebih patuh kepada arahan.

Membenarkan mereka menentukan hukuman ke atas kesalahan mereka juga boleh menjadi motivasi bagi mematuhi peraturan.

Sebagai contoh, tanya anak-anak sekiranya mereka patut dihukum dengan hukuman A ataupun B jika peraturan dilanggar. Sekiranya mereka lebih tua, tanya mereka apakah hukuman yang mereka fikir patut terima jika melakukan kesalahan itu.

7. Luangkan masa bersama keluarga

Selain daripada berdoa dan makan bersama, sebarang aktiviti yang dilakukan sebagai keluarga akan mengeratkan lagi hubungan anda. Sama ada aktiviti dalaman seperti membersihkan rumah atau aktiviti luar seperti melancong dan bercuti bersama.

Bagi meringankan beban ibu atau isteri yang kepenatan memasak, ayah harus membiasakan diri mendidik anak-anak. Kerjasama ibu bapa dalam mengemas rumah juga akan memberi contoh positif untuk diikuti oleh anak-anak.

Aktiviti luar bersama keluarga membina ikatan kekeluargaan di samping meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Perkelahan, sukan dan percutian adalah aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan bersama keluarga.

Jejaki kenangan indah ini setiap kali meluangkan masa bersama.

Selain daripada cadangan tujuh garis panduan untuk keluarga bahagia ini, sudah pasti banyak lagi yang boleh kita pelajari daripada orang yang lebih berpengalaman. Selamat beramal dan semoga kita semua mempunyai keluarga yang bahagia!

Related Articles

Back to top button