Semasa

Tujuh aktiviti pelancongan utama dibenar di Langkawi pada 16 Sept

KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 Sept ini.

MOTAC dalam kenyataan semalam berkata ia merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan inap desa termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan inap desa, aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen, dan pameran serta acara-cara pelancongan dan kebudayaan.

“Kebenaran juga diberikan untuk produk tarikan utama pelancong seperi aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasa atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riada, rekreasi serta sosial.

“Aktiviti pelancongan minat khas eperti golf, selam skuba, berbasikal, memancing, pelayaran dan sebagainya juga dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Turut dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, dan ‘jungle trekking’ dan sebagainya.

Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain-lain juga dibenarkan beroperasi, menurut kenyataan itu.

Tambahnya lagi, turut dibenarkan beroperasi adalah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik seperti ke Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.

MOTAC turut memaklumkan senarai itu bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa.

Pada masa sama MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik untuk seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.

Sementara itu, MOTAC juga akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industry pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa.

 

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button