Semasa

TUDM fokus kebajikan keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy

KUALA LUMPUR : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memfokuskan kebajikan keluarga kedua-dua juruterbang pesawat Hawk yang terlibat dalam kemalangan ketika latihan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.

TUDM menerusi satu hantaran di Facebook rasmi berkata, segala urusan rawatan di hospital dan urusan pengebumian akan disempurnakan pihaknya dengan sebaik-baiknya.

 

Urusan membawa isteri Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM iaitu Puan Nurul ‘Izati binti Shari, 31 tahun dari Kota Bharu, Kelantan dan keluarga Allahyarham dari Bandar Tun Razak, Pahang

Menurut TUDM, balu dan ahli keluarga Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang menetap di Kota Bharu, Kelantan dan Kuantan, Pahang diuruskan oleh Pangkalan Udara Gong Kedak dan Pangkalan Udara Kuantan telah dibawa ke Pulau Pinang menggunakan sebuah pesawat C130H.

“Sebaik tiba sekitar jam 9.40 pagi, waris Allahyarham terus dibawa ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang sebelum bedah siasat dilaksanakan.

 

“Selesai urusan bedah siasat, pengurusan jenazah Allahyarham dikendalikan oleh Pangkalan Udara Butterworth, manakala urusan pengebumian oleh Pangkalan Udara Kuantan dan Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT) Bukit Ibam,” menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

TUDM berkata, pesawat C130H yang membawa jenazah Allahyarham berlepas dari Bayan Lepas, Pulau Pinang sekitar jam 4.08 petang dan tiba di Pangkalan Udara Kuantan pada jam 6 petang.

 

“Jenazah kemudian dibawa ke kediaman keluarganya di Muadzam Shah untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan,” katanya.

 

Turut mengiringi memberikan penghormatan ialah kepada Allahyarham ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Mohd Shahada Ismail dan Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brigedier Jeneral Shaiful Azuar Ariffin.

 

Ummah Today sebelum ini melaporkan insiden pesawat Hawk milik TUDM terhempas pada jam 10:07 malam ketika sedang menjalankan latihan penerbangan (Night Flying).

 

Dua juruterbang yang dikenal pasti terlibat ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy dan Mejar Mohd Fareez Omar.

 

Mohamad Affendi meninggal dunia dalam nahas itu, manakala Mohd Fareez cedera, berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button