
KUALA LUMPUR : Aliran trafik keluar dari ibu negara ke arah utara, selatan dan timur Semenanjung terus meningkat, namun lalu lintas lancar dan terkawal.
Ia berikutan orang ramai yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung bermula hari ini.
Jurucakap PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berkata, peningkatan kenderaan di lebuh raya utama bermula jam 12 tengah malam tadi, namun setakat ini tiada kesesakan luar biasa.
“Kita hanya ada terima maklumat aliran trafik perlahan di Jambatan Pulau Pinang pagi ini kerana kerja penyelenggaraan jalan.
“Kenderaan dijangka bertambah di lebuh raya pada hujung minggu ini, namun perkara itu hanya akan dapat dipastikan bila tiba masanya nanti,”
Sementara itu, para pemandu dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka untuk memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman berjalan lancar dan selamat.
Diharapkan dengan kebenaran untuk merentas negeri diberikan oleh pihak kerajaan, Keluarga Malaysia terus dinasihatkan untuk menjalankan kawalan kendiri dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19.
Oleh : A.Azfar