Covid19KesihatanSemasa

‘Total Lockdown’ mulai 1 Jun

Sektor ekonomi dan sosial ditutup serta merta

KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh Malaysia, bermula Selasa (1 Jun 2021) hingga Isnin (14 Jun 2021).

Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 28 Mei berkata, menerusi perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan itu diputuskan dalam Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.


“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.” – Tan Sri Muhyiddin Yassin / Perdana Menteri

Setakat hari ini, dilaporkan seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 dan jumlah kematian semakin meningkat.

Lebih memudaratkan kewujudan varian baharu menyebabkan kadar kebolehjangkitan tinggi hingga mempengaruhi keputusan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan, jika perintah berkurung penuh Fasa Pertama itu berjaya mengurangkan kes harian COVID-19, perintah berkurung Fasa Kedua akan dilaksanakan.

Katanya, Fasa Kedua akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Pelaksanaan perintah berkurung Fasa Kedua itu akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini.

Menerusi PKP, aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

Bagaimanapun, keputusan untuk beralih daripada satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.

Berhubung pengumuman perintah berkurung penuh itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan akan diumumkan.

Susulan keputusan kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

Tan Sri Muhyiddin juga mengumumkan pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri turut menegaskan apa yang terbaik ialah duduk di rumah atau ‘stay at home’ untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19. -BH

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button