Semasa

Tompok-tompok putih punca pencemaran Sungai Masai

PASIR GUDANG : Sejak Jumaat lalu, tompok-tompok sampah putih dikesan melekat di pangkal pokok bakau selain di peralatan menangkap ikan dan perahu yang berlabuh di Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru.

Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Rinting Zon 2, Mohd Azizi Mohmad, berkata tompokannya jelas kelihatan.

Beliau menyatakan ia melekat pada ratusan pangkalan pokok bakau di sekitar muara serta enjin bot nelayan dan peralatan menangkap ikan.

Beliau khuatir pencemaran itu akan meninggalkan kesan buruk kepada ekosistem dan seterusnya kepada nelayan.

“Nelayan tidak dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan sejak lima hari lalu kerana pukat mereka dicemari tompok putih.

“Walaupun dicuci berulang kali kesannya sukar hilang. Sehingga kini kami juga tidak melihat atau dimaklum sebarang tindakan susulan oleh pihak berkaitan dan ia menimbulkan tanda tanya sehingga bila masalah ini berlarutan,” katanya selepas tinjauan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Mohd Aziz meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak segera.

Jika isu itu tidak ditangani, ia akan kembali berulang.

“Sebagai nelayan tradisional, kami kecewa kerana perairan ini sentiasa menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami juga memiliki keluarga dan tanggungan, sekiranya tidak dapat ke laut. Diharap JAS dapat mengenal pasti pihak yang melakukan perbuatan berkenaan dan ambil tindakan tegas,” katanya.

Pengarah JAS Johor Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi berkata hasil pemeriksaan sampel pencemaran sungai itu akan diperoleh tidak lama lagi.

“Pencemaran itu bukan dari asal semula jadi,  menurut penilaian awal. Kita perlu meneliti perkara ini dan mendapatkan maklumat tambahan kerana apa yang kita lihat,  bahan ini berbeza daripada kejadian pencemaran sebelumnya, ia kelihatan seperti serbuk,” katanya.

Penduduk dan kumpulan nelayan bimbang dengan pencemaran di Sungai Masai sejak Jumaat lalu.

Sungai Masai dahulunya dikenali sebagai sungai kopi-o kerana warnanya yang gelap yang dianggap berpunca daripada pencemaran kumbahan.

Selepas masalah sungai hitam itu ditangani, pencemaran sungai itu muncul semula dalam bentuk tompok putih yang turut berbau.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button