‘Tok Wali’ kembali ke rahmatullah
إنا لله وإنا إليه راجعون
Dunia Islam kehilangan seorang lagi ulama yang terkenal di negeri Kelantan, Sohibul Fadhilah Tuan Guru Dr Haji Ismail Mahmood yang meninggal dunia pada 13 September (Selasa).
Perkara itu disahkan oleh anaknya, Zainab Ismail yang memaklumkan berita pemergian Allahyarham menerusi perkongsian di laman Facebook.
“Mohon sama-sama doakan semoga digolongkan dalam kalangan auliya’ dan solihin serta ditempatkan bersama para anbiya’ di sana. Semoga Allah kumpulkan kita bersama di syurga tanpa dihisab. Ameen,” katanya.
Allahyarham yang mesra dengan panggilan Haji Wael atau Tok Wali dimandikan dan disolatkan pada jam 9.30 pagi Surau Sahah Usbah, Sesapan Kelubi Beranang, Semenyih, Selangor dan dikebumikan di perkuburan seberang Klinik Kesihatan Beranang pada 11 pagi tadi.
Tok Wali yang meninggal dunia pada usia 76 tahun merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Kelantan dan penyusun Kitab Zikir Berganda Pahala.
Tuan Guru Dr Haji Ismail Mahmood dilahirkan pada tahun 1946 di Pasir Mas, Kelantan mendapat pendidikan awal di Pondok Kampung Dangar. Selepas itu beliau memasuki Maahad Muhammadi, Kota Bharu selama beberapa tahun.
Tok Wali kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Nilam Puri selama 4 tahun dan merupakan pelajar terbaik pada tahun 1969.
Di kesempatan yang ada, beliau turut belajar secara berulang alik ke Pondok Bunut Payong, Kota Bharu untuk bertalaqqi kitab pada sebelah malamnya.
Akhirnya beliau berangkat ke Mesir untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dengan mendaftarkan diri sebagai pelajar di Universiti al-Azhar, Kaherah dan berjaya lulus MA Usul Fiqh dari al-Azhar tahun 1974.
Kerjaya Tuan Guru Dr Ismail bermula sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kemudian beliau mendapat tawaran mengajar sebagai pensyarah di sebuah universiti di Brunei selama beberapa tahun.
Selepas kontraknya tamat, beliau pulang ke tanah air lalu menyambung perkhidmatan sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sehingga habis kontraknya.
Dalam pada itu, salah seorang anak muridnya,Nur Farahain Muhammad turut meluahkan rasa sedih dengan pemergian pensyarahnya itu yang dianggap sebagai seorang yang alim, zuhud dan pakar dalam ilmu usul fiqh.
“Seorang yang tak pernah mengenal erti penat untuk mengajar anak-anak murid walapun dalam keadaan keuzuran.
“Sentiasa menjaga solat dhuha walaupun masa dhuha hampir habis, sebab anak-anak murid sibuk jumpa secara bersemuka dalam bilik Allahyarham semata-mata untuk menterjemahkan kitab-kitab fiqh, usul fiqh dan subjek lain untuk tugasan walaupun bukan madah ustaz,” katanya.