Semasa

Tok Guru Pak Teh Mad dimasukkan ke hospital

PADANG TERAP : Datuk Ahmad Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad telah dimasukkan ke Hospital Kuala Nerang setelah beberapa hari mengalami demam dan kekurangan oksigen.

Perkara itu disahkan oleh cucu beliau, Mariam Abdul Ghani melalui satu hantaran di Facebook berkata datuknya dimasukkan ke hospital semalam namun kini keadaannya stabil.

“Saya merupakan cucu kepada Tuan Guru Haji Ahmad, Pondok Pak Teh Mad, Kuala Nerang.

“Untuk makluman semua, Tok Ayah saya dimasukkan ke Hospital Kuala Nerang semalam setelah beberapa hari kesihatannya merosot dan mengalami kekurangan oksigen.

“Alhamdulillah keadaan terkini beliau adalah stabil dan berada dalam pemantauan penuh pihak hospital Kuala Nerang,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Sementara itu, Mariam turut memberitahu bahawa Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Mohd Syauqi Abd Kadir mengambil maklum keadaan Tok Ayah dan telah mengarahkan supaya diberi rawatan yang terbaik serta mendoakan kesejahteraannya.

Dalam pada itu, Mariam memohon agar semua dapat mendoakan kesembuhan buat Tok Ayah dan tidak menyebarkan berita yang tidak sahih tentang keadaan Tok Ayah yang kian tular di media sosial.

Gambar – Facebook Ulama’ Besar Alam Melayu

“Saya juga mohon sahabat-sahabat bersama kita mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat warga Pondok Ahmadiah yang majoritinya adalah di kalangan warga emas supaya terhindar dari sebarang wabak dan penyakit,” katanya.

Tok Guru Pak Teh Mad yang kini berusia 95 tahun adalah ulama tertua di Kedah dan merupakan pengasas Pondok Ahmadiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Teh Mat yang telah dibangunkan sejak 1961 seepas kembalinya berguru dari Mekah.

Sejak itu, Pondok Ahmadiah menjadi manifestasi kegigihan tokoh berkenaan dalam berdakwah dan menegakkan syiar Islam di negeri Kedah khususnya, dan Malaysia amnya.

Oleh : Hafeez

 

Related Articles

Back to top button