Semasa
TNB tutup sementara pencawang di kawasan sekitar Selangor akibat banjir
KUALA LUMPUR : Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 390 pencawang elektrik atas faktor keselamatan di sekitar kawasan Selangor berikutan banjir melanda negeri terbabit sejak semalam.
TNB menerusi hantaran di Facebook berkata, setakat jam 5.45 pagi, pasukan teknikal TNB telah berjaya memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan yang terlibat dalam gangguan bekalan elektrik ekoran banjir di negeri itu.
Sementara itu, bekalan masih belum dapat diberikan di beberapa kawasan sekitar yang terjejas ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat.
“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
“Jika banjir di kawasan anda sudah surut, besar kemungkinan pencawang elektrik yang menyambung bekalan elektrik ke rumah anda masih terlibat dan belum selamat untuk membekalkan elektrik,” katanya.
Dalam pada itu, TNB menasihatkan para pelanggan agar kekal selamat dan sentiasa berhati-hati.