Oleh: Izz Nazaruddin, wartawan pelatih
LUMUT : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menghalang 21 bot nelayan asing menceroboh perairan negara semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan TLDM, kapal TLDM, KD Jebat, telah dilepaskan ke Pulau Perak untuk menghalau Bot Nelayan Asing (BNA).
“Penyaluran maklumat yang pantas menerusi Komander Komponen Maritim (MCC) Barat telah mengatur gerak aset yang terhampir iaitu KD JEBAT untuk ke lokasi pengesanan awal BNA tersebut iaitu di sekitar perairan Selatan Pulau Perak”
“Setiba di posisi pengesanan, KD JEBAT lantas mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas tiga buah BNA di lapangan dan kekal membayangi BNA sehingga keluar meninggalkan sempadan,” menurut kenyataan tersebut.
Manakala, 18 BNA telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran kapal TLDM tersebut.
Kenyataan itu juga menyatakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan 21 buah BNA terdahulu dan sampaikan maklumat kepada komponen maritim.
“Terdahulu, Pesawat B200T (RMF 377) milik TUDM telah berjaya mengesan keberadaan 21 buah BNA dinyatakan di dua posisi berbeza iaitu pada 36 batu nautika Selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak”
“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, TLDM bersama agensi penguatkuasaan maritim sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara.