Covid19Semasa

Tindakan segera bakal diambil kepada golongan antivaksin- KJ

KUALA LUMPUR : Penyebaran berita dan maklumat palsu berkenaan kesan sampingan vaksin kepada khalayak ramai dilihat semakin menjadi-jadi.

Kebebasan mereka dalam  menyampaikan ‘dakyah antivaksin’ ini meluas sehingga ada yang berani menghantar pesanan mesej berbentuk rantaian lalu disebarkan melalui pelbagai jenis platform media sosial.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter @DrSakinah3, memuat naik tangkap layar kenyataan seorang antivaksin dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui aplikasi Telegram.

“Adakah saya seorang sahaja yang rasa kumpulan antivaksin di Malaysia ini kebal sekebal-kebalnya?

“Mantan Perdana Menteri, Presiden UMNO pun turun naik mahkamah, tapi antivaksin ini lebih hebat lagi. Petik nama menteri sesuka hati. Tabur fitnah sana, No Action (tiada tindakan). Sampai bila?” luah pakar perubatan keluarga KKM, Dr Sakinah Sulong.

Ciapan tersebut menarik perhatian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin lantas, beliau menegaskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah pun membuat laporan polis terhadap kumpulan antivaksin ini.

“KKM sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin. Kami harap tindakan susulan, siasatan, pendakwaan dan lain-lain dapat disegerakan.

“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Sabtu lalu, Khairy meminta laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat terhadap seorang pengguna laman sosial Twitter atas penyebaran berita palsu berhubung vaksin Covid-19.

Katanya ada masanya untuk mendidik. Namun kini, waktunya untuk menguatkuasakan undang-undang.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button