DuniaSemasa

Tiga maut, bot pelarian terbalik

CAYENNE: Sekurang-kurangnya tiga orang maut selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 20 pendatang terbalik di perairan Guiana Perancis.

Menurut pihak berkuasa tempatan, bot yang membawa kumpulan pendatang dari Brazil dalam perjalanan menuju ke sebuah kawasan perlombongan emas secara haram.

Bot itu karam pada 28 Ogos lalu namun insiden itu tidak dilaporkan sehingga seorang mangsa dikesan oleh orang yang menaiki sebuah kapal pada Selasa lalu.

Mangsa ketika ditemukan berpaut pada pelampung di selat Kourou di wilayah Amerika Selatan Perancis.

Wanita dari Brazil memberitahu pasukan penyelamat bahawa dia menaiki bot itu selepas ia meninggalkan pekan Oiapoque di sempadan sungai dengan Guiana Perancis.

Menurut pendakwa raya Sameul Finielz, berdasarkan kenyataan yang dikumpulkan, bot yang membawa pendatang warga Brazil dari Oiapoque menuju ke kawasan perlombongan emas haram.

“Kita boleh katakan kira-kira 20 orang berada dalam bot tersebut,” katanya.

Pasukan penyelamat menemukan tiga mayat dan empat mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut.

AFP

Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button