InspirasiSemasa

Tiga beradik terima PhD serentak

SKUDAI: Tiga beradik anak-anak kepada pasangan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah baharu apabila memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) serentak di universiti itu pada Khamis.

Faridah Mohd Marsin, 39, bersama-sama dua adiknya, Jamilia, 36 dan Aishah, 32, berkongsi detik indah tersebut dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-66 di Skudai di sini.

Faridah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik merupakan graduan PhD Kimia Analisis manakala Jamilia yang merupakan anak ketiga graduan PhD Seni Bina dan Aishah yang merupakan anak kelima merupakan graduan PhD Kejuruteraan Bioproses.

Menurut Faridah, kejayaan mereka itu merupakan hadiah bermakna untuk ibu bapa mereka iaitu bekas pensyarah Sains Kimia, Dr Mohd Marsin Sanagi dan Pensyarah Sains Fizik, Dr Noriah Bidin.

“Kejayaan memperoleh PhD hari ini selepas didorong ibu bapa kami. Saya rasa sangat gembira, kerana kami telah lama merancang untuk menamatkan pengajian PhD bersama-sama walaupun masing-masing mendaftar pada tahun berbeza.”

“Dengan sokongan ibu bapa, selain kami bertiga turut memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada satu sama lain, akhirnya kami sama-sama berjaya selesaikan tugasan Viva dan alhamdulillah, kami berjaya,” katanya kepada pemberita & wartawan Sinar Harian, Zulhisham Isahak selepas majlis konvokesyen itu.

Sementara itu, Jamilia berkata, sejak kecil mereka sentiasa menyokong satu sama lain, khususnya dalam pendidikan dan urusan keluarga.

“Sebagai adik beradik, berbalah itu perkara biasa khususnya apabila terdapat perbezaan pendapat, tetapi pada akhirnya kita tetap menyokong antara satu sama lain dalam memastikan cita-cita bersama tercapai,” katanya.

Aisyah pula berkata, antara cabaran dihadapi mereka adalah mengimbangkan masa sebagai isteri, ibu, pelajar dan juga kakitangan kerajaan.

“Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak tiga, empat dan lima orang. Jadi, itu cabaran utama kami apabila perlu mengimbangkan antara belajar, keluarga dan kerjaya.”

“Untuk itu kami perlu kuat semangat kerana kadangkala memang ada sampai tahap penat dan banyak pengorbanan perlu dibuat, namun alhamdulillah akhirnya semua telah terbalas,” ujarnya.

Tiga beradik itu merupakan antara 539 graduan yang menerima PhD dan Ijazah Sarjana mereka pada sesi majlis konvokesyen itu, pada Khamis.

BACA JUGA
Anak perempuan 7 tahun ditemui meninggal dunia di bawah timbunan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button