KerohanianPendidikanSemasa

Tidur ketika mendengar khutbah

Oleh: Amir Aiman (Wartawan Pelatih)

Mendengar khutbah Jumaat adalah dituntut sekalipun para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya antara wajib dan sunat.

Namun, adakah dikira lagha jika seseorang itu tidak menumpukan perhatian semasa khatib sedang membacakan khutbah atau tertidur sepanjang khutbah berlangsung?

Sebelum dijawab persoalan ini, perlu dijelaskan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan lagha. Para ulama mendefinisikan lagha kepada beberapa pengertian. Antaranya:

  1. Tidak mendapat sebarang pahala.
  2. Fadilat jumaat seseorang itu terbatal.
  3. Solat jumaatnya menjadi solat zohor sahaja.

Dengan kata mudahnya, lagha menjadikan sesuatu perbuatan itu menjadi sia-sia.

Secara asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat Jumaatnya.

Pertama: Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ ‏

Maksudnya: Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diamlah” ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934)

Hadis tersebut menunjukkan sebarang ucapan meskipun teguran adalah dilarang semasa khutbah sedang berlangsung dan boleh menyebabkan pelakunya menjadi lagha.

Berdasarkan hadis tersebut juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata semasa khutbah. Sekalipun ucapan ‘’diamlah’’ itu suatu teguran, namun ia tetap dianggap sebagai lagha. Apatah lagi ucapan-ucapan selain itu.

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Larangan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah ra. bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.

Riwayat Muslim (857)

Hadis di atas menjelaskan bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang serta menjadikan pelakunya lagha.

Larangan ini termasuk perbuatan lain yang boleh menyebaban hilangnya tumpuan dalam mendengar khutbah seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, tidur ketika khutbah sedang berlangsung turut menafikan tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan. Oleh kerana itu, ia turut termasuk dalam perkara yang dilarang semasa mendengar khutbah.

Imam Muhammad bin Sirin berkata : ‘’Para salaf terdahulu tidak suka kepada perbuatan tidur semasa imam sedang berkhutbah dan mereka mengucapkannya dengan kenyataan yang begitu tegas’’. Iaitu dengan menyifatkan orang yang tidur semasa khatib sedang berkhutbah seperti tentera perang yang pulang dalam keadaan yang gagal (tidak mendapat ghanimah iaitu harta rampasan perang).

Al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Al-Qurtubi (18/117).

Kesimpulannya, hukum tidur dengan sengaja ketika khatib sedang berkhutbah adalah ditegah dan boleh menjadikan pelakunya sebagai lagha. Namun sekiranya seseorang jemaah itu tertidur secara tidak sengaja boleh jadi disebabkan terlalu letih, maka ini tidaklah termasuk dalam larangan tersebut.

 

Rujukan Portal Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button